Selasa, 31 Julai 2018

Agus minta Husam tidak teruskan cadangan Majlis Tindakan Kelantan



Agus minta Husam tidak teruskan cadangan Majlis Tindakan Kelantan



Prof Datuk Dr Mohamad Agus Yusoff  (gambar kanan) menyelar pandangan Naib Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Kelantan Husam Musa untuk menubuhkan Majlis Tindakan dan Pembangunan Negeri Kelantan sebagai badan penyelaras antara kerajaan pusat dan rakyat di negeri itu.
Penganalisis politik ini berkata, walaupun cadangan itu belum dimuktamadkan tetapi beliau berharap ide itu tidak diteruskan oleh Pakatan Harapan di Kelantan.

“Membaca berita Haji Husam Musa mencadangkan penubuhan Majlis Tindakan dan Pembangunan Negeri yang dipengerusikan oleh beliau sendiri bersama 10 ahli lain untuk bertindak sebagai penyelaras dan penghubung antara menteri (kerajaan pusat) dan rakyat, hati saya tersentak.

“Biarpun perkara ini belum muktamad, saya harap idea ini tidak diteruskan. Jika idea ini diteruskan, maka tidak ada bezanya kerajaan hari ini dengan kerajaan dahulu yang ada JPP. Hentikan cara dahulu yang ada dua penghulu, dua penggawa, dan dua JKKK,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau mengulas mengenai keputusan Husam yang juga Naib Presiden AMANAH itu pada Julai lalu, yang dipetik berkata, cadangan itu sudah diputuskan PH akan segera disampaikan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohmad.

Bagi melicinkan program setiap kementerian Husam berkata, PH Negeri akan melantik jawatan kuasa-jawatan kuasa khas sebagai peyelaras.

Menurut Prof Agus lagi, apabila PH menang dalam Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, beliau menaruh impian besar untuk melihat negara ditadbir secara demokratik dengan menghormati pilihan rakyat.

“Hari ini, apa yang menjadi hak kepada negeri, salurkan kepada kerajaan negeri kerana itulah pilihan rakyat dalam sistem politik demokrasi yang kita perjuangkan selama ini.

“Mulakanlah perubahan cara berpolitik kita sekarang kerana itulah janji “Malaysia Baru” yang kita mahu bina bersama,” ujarnya.

Tiada ulasan: