Sabtu, 28 Julai 2018

Rafizi tidak berani bertanding tanpa sokongan kuat, kata penganalisis

 
Kamarul Zaman berkata, Rafizi bertanding jawatan itu juga kerana mendapat 'restu' daripada pemimpin PKR yang mempunyai kuasa.


Kamarul Zaman berpendapat, Azmin berkemungkinan bertanding merebut jawatan presiden PKR sekiranya terdapat usaha bersepadu untuk menyingkirkannya daripada jawatan timbalan presiden.


PETALING JAYA: Naib Presiden PKR Rafizi Ramli tidak akan cukup berani untuk bertanding jawatan timbalan presiden sekiranya tidak mempunyaj sokongan yang kuat, kata penganalisis politik.

Dr Kamarul Zaman Yusof berkata, Rafizi bertanding jawatan itu juga disebabkan mendapat “restu” daripada pemimpin PKR yang mempunyai kuasa.

“Kita tidak boleh secara langsung menyimpulkan apabila Rafizi bersetuju bertanding jawatan timbalan presiden, maka pertarungan itu akan hanya membabitkan beliau dengan Azmin.

“Sehingga kini Azmin juga tidak mengatakan jawatan mana yang akan ditandinginya dan kita tidak boleh menganggap dia akan mempertahankan jawatan timbalan presiden hanya kerana dia penyandang jawatan itu,” katanya kepada FMT.

Rafizi semalam mengesahkan akan melepaskan jawatan naib presiden dan bertanding merebut kerusi timbalan presiden pada pemilihan parti Ogos ini.

Jawatan timbalan presiden PKR kini disandang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang belum diketahui sama ada akan mempertahankannya atau mencuba jawatan lebih tinggi.

Sehingga kini, hanya Rafizi mengesahkan akan bertanding jawatan nombor 2 parti itu.

Pemilihan PKR diadakan 3 tahun sekali. Penamaan akan dibuka pada hujung bulan ini, dan pengundian diadakan pada Ogos. Ahli boleh bertanding mana-mana jawatan dalam parti itu, tetapi beberapa orang naib presiden akan dilantik.

Mengulas lanjut, Kamarul Zaman berpendapat, Azmin berkemungkinan akan bertanding merebut jawatan presiden PKR sekiranya terdapat usaha bersepadu untuk menyingkirkannya daripada jawatan timbalan presiden.

“Tidak kira apa jawatan yang akan ditandingi Azmin, pertarungan itu pastinya sesuatu yang sangat menarik kerana PKR kini menjadi parti terbesar dalam kerajaan.

“Lebih-lebih lagi apabila Azmin dan penyokong utamanya kini lebih berpengaruh di Putrajaya,” katanya.

Kamarul Zaman berkata, mereka yang menang dalam pemilihan PKR juga akan diberi ganjaran jawatan dalam kerajaan.

“Walaupun tidak (diberi ganjaran itu), ia juga baik kepada PKR memandangkan mereka merupakan parti yang mengawal kerajaan,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, parti luar daripada PKR sama ada PPBM, DAP atau Amanah hendaklah tidak mencampuri atau cuba mempengaruhi keputusan pemilihan parti itu.

Tiada ulasan: