Khamis, 19 Julai 2018

Kenapa GST wajar dikekalkan?…..

ISMA WEB

SST buka ruang kepada peniaga menipu dan menaikkan harga barang


SISTEM percukaian adalah satu daripada polisi fiskal (fiscal policy) yang dilaksanakan kerajaan dan salah satu daripada instrumen pendapatan sesebuah negara.

Selain daripada sistem percukaian, sumber pendapatan negara diperoleh daripada kegiatan import dan eksport, pelaburan asing, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan lain-lain instrumen di dalam kategori polisi kewangan (monetary policy), antaranya terbitan bon.

Pendapatan negara yang kukuh akan berjaya memastikan kegiatan ekonomi sesebuah negara, terutama ekonomi domestik membangun dan rakyat mendapat manfaat daripadanya.

Sistem percukaian yang efisyen dan tidak membebankan rakyat amat penting bagi menjana pendapatan negara kerana sistem percukaian itu sendiri merupakan sumber utama bagi pendapatan sesebuah negara yang membangun (developing country).

Penguatkuasaan cukai GST (Goods & Services Tax) pada April 2016 adalah salah satu daripada langkah kerajaan dalam mengemas kini dan menaik taraf sistem percukaian di Malaysia bagi menggantikan cukai sebelumnya, Cukai SST (Sales & Services Tax) yang telah diperkenalkan seawal 1960-an.

Di sesetengah negara lain GST dikenali sebagai Value-Added Tax (VAT). Sistem GST ini beroperasi berasaskan kepada konsep nilai ditambah. GST ini adalah penggantian kepada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) yang merupakan cukai seperingkat.

GST dikenakan ke atas barang dan perkhidmatan di setiap peringkat pengeluaran dan pengedaran dalam rantaian pembekalan termasuk barang dan perkhidmatan yang diimport.

Ketika perlaksanaan SST, semua barangan tidak dicukai, kecuali sesetengah barang yang diisytiharkan dicukai, manakala bagi GST pula, semua barang akan dikenakan cukai kecuali barangan yang tidak diisytiharkan dicukai.

Antara barangan yang tidak dikenakan cukai adalah keperluan asas pengguna sebagai contoh beras, gula, daging, ayam dan lain-lain.

GST telah mengenakan cukai terhadap 670 barangan dan servis, manakala SST terdahulu telah mengenakan cukai kepada 359 barangan dan 73 perkhidmatan.


Kadar GST 6 % dikenakan kepada setiap peringkat di dalam rantaian jika margin keuntungan diletakkan pada kadar RM10 di setiap peringkat.

Berdasarkan rajah di atas, peniaga di setiap peringkat di dalam rantaian boleh menolak GST yang dibayar (cukai input) dari GST yang dikenakan (cukai output).

Contohnya pembekal ( 1) mengenakan cukai output kepada pengilang (2) sebanyak RM3.00 tetapi pembekal (1) tidak perlu membayar cukai input kerana pembekal tidak membeli apa-apa input daripada perniagaan lain.

Oleh itu, pembekal perlu membayar sebanyak RM3.00 yang diterima daripada pengilang (2) kepada kerajaan.

Seterusnya, bagi pengilang (2), cukai yang dikenakan (cukai output) kepada pemborong (3) ialah RM3.60 dan pengilang telah membayar cukai input kepada pembekal (2) ke atas bahan mentah sebanyak RM3.00. Jadi, pengilang (2) hanya perlu membayar sebanyak RM0.60 iaitu perbezaan antara cukai output dengan cukai input kepada kerajaan.

Begitu juga seterusnya yang berlaku kepada pemborong (3) dan peruncit (4). Jika cukai input ini melebihi cukai output, para peniaga boleh menuntut semula daripada kerajaan.

Namun, bagi pengguna (5), mereka perlu membayar cukai GST berkadar 6 % yang telah ditetapkan dan tidak boleh menuntut GST ini daripada pihak kerajaan.


Kadar SST 10 % hanya dikenakan pada output di peringkat pertama sahaja di setiap rantaian
Jadual di atas menunjukkan kepada kita bagaimana sistem percukaian SST yang bersifat seperingkat dan jika ianya dipatuhi seperti di dalam jadual di atas, maka ianya tidak akan membebankan rakyat dengan kos barangan dan perkhidmatan yang tinggi.

Namun, sistem SST yang terdahulu membuka ruang yang banyak kepada peniaga dalam menipu harga barang dengan menyembunyikan harga barang yang sebenar di atas alasan cukai dengan menaikkan harga barang.

Kerajaan juga terdedah dalam mengenakan cukai berganda kepada peniaga dan pengguna dengan cukai SST ini. Seterusnya, sistem SST yang terdahulu ini memberikan ruang yang begitu banyak kepada peniaga mengelak daripada membayar cukai (Tax Evasion) kerana sifatnya yang bersifat cukai seperingkat.

Manakala, sistem GST memerlukan peniaga menghantar pelaporan kepada agensi Kastam Diraja Malaysia setiap tahun.

GST mengenakan cukai di setiap peringkat perbekalan dan pengedaran barangan serta perkhidmatan di dalam rantaian dapat mengurangkan masalah-masalah seperti peniaga mengelak daripada membayar cukai dan dapat menyelesaikan masalah cukai berganda seterusnya sistem kutipan cukai kerajaan akan menjadi lebih efisyen.

Harga barangan dan perkhidmatan akan mengalami proses kenaikan harga pada setiap tahun dan bukanlah GST dan SST menjadi faktor penyebab kepada kenaikan harga ini kerana sitem cukai konsisten berada pada kadar yang ditetapkan kerajaan iaitu 6 % untuk GST dan 10 % bagi SST.

Kenaikan harga barangan dan perkhidmatan adalah disebabkan oleh inflasi antaranya dan kadar kenaikan barangan mengikut kadar inflasi adalah satu indikator yang menunjukkan ekonomi sesebuah negara itu sihat dan membangun dengan baik.

Namun, bagi saya kenaikan harga barangan dan perkhidmatan punca utamanya adalah wujudnya kumpulan peniaga yang mendominasi pasaran dan bergerak secara kartel.

Kewujudan kartel-kartel ini, ditambah dengan penguatkuasaan sistem percukaian yang longgar telah mengukuhkan kedudukan kartel ini di pasaran ekonomi dan seringkali kenaikan harga barang akan dihalakan kepada sistem cukai kerajaan.

Jika dilihat kembali, beberapa peristiwa yang selalunya akan menyebabkan kenaikan harga barang, antaranya kenaikan harga minyak, di mana sebelum ini harga minyak dipengaruhi oleh subsidi kerajaan sebelum subsidi dihapuskan dan berdasarkan harga petrol semasa.

Apabila kerajaan mengurangkan subsidi dan harga minyak naik, maka harga barang pun turut naik dengan alasan peningkatan kos penghasilan dan baru-baru ini, harga barang naik mendadak akibat daripada pengenalan GST.

Kesimpulannya, sistem percukaian GST sebelum ini lebih memberikan kebaikan kepada kerajaan berbanding sistem percukaian SST sebelumnya.

Sistem GST yang lebih efisyen dan telus dijadikan mangsa sentimen rakyat terhadap harga barangan yang naik mendadak adalah akibat daripada penguatkuasaan undang-undang percukaian yang longgar dan kartel-kartel barangan ini terus kukuh dalam mendominasi pasaran di samping penerangan kepada rakyat mengenai GST belum mencukupi.

Pengenalan cukai SST pada kadar 10 % bagi barangan dan 6 % bagi perkhidmatan dijangkakan tidak akan mengurangkan harga barangan, malah harga barangan akan terus meningkat tinggi tidak selari dengan kadar inflasi disebabkan oleh monopoli dan dominasi kartel-kartel yang tidak dibanteras ketika di dalam kerajaan sebelumnya.

Sistem cukai GST harus dikekalkan dengan beberapa cadangan seperti kadarnya boleh dikurangkan dan paling penting adalah penguatkuasaannya harus dilaksanakan dengan baik serta kewujudan kartel-kartel yang telah wujud sejak sekian lama ini haruslah dibendung oleh pihak berkuasa.

Azry Mustapa, Pelajar Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan Korporat,
Universiti Malaysia Sarawak(UNIMAS)


Tiada ulasan: