Selasa, 31 Julai 2018

Pemilihan PKR: Rafizi dibenar tanding walaupun berdepan sabitan NFC

 
Naib presiden PKR itu mendapat pengecualian daripada JPPM seperti diperuntukkan dalam Akta Pertubuhan.


Rafizi Ramli akan bertanding jawatan timbalan presiden dalam pemilihan PKR bulan depan.


PETALING JAYA: Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendapat pengeculian daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) untuk menjadi timbalan presiden, jika beliau menang dalam pemilihan parti bulan depan, walaupun berdepan sabitan jenayah.

“Ya, saya (dapat pengecualian). Kalau tidak, saya tidak akan umum hasrat saya bertanding.

“Saya mendapat pengecualian di bawah Akta Pertubuhan,” katanya kepada FMT dalam mesej teks.

Bekas ahli Parlimen Pandan itu berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau mendapat kelulusan JPPM.

Seksyen 9A (1)(b) Akta Pertubuhan menyatakan pemegang jawatan hilang kelayakan jika beliau disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman denda RM2,000 atau lebih, atau penjara setahun atau lebih.

Section 9 (4) bagaimanapun memperuntukkan individu yang hilang kelayakan itu boleh meminta pengecualian daripada JPPM atas syarat tertentu.

Pada 7 Februari lalu, Mahkamah Sesyen Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan ke atas Rafizi kerana mendedahkan penyata akaun bank berkaitan anak syarikat National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) dan Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail, pada 2012.

Bekas kerani Public Bank, Johari Mohamad turut dijatuhkan hukuman penjara sama kerana bersubahat dengan Rafizi.

Mereka didapati berslah di bawah Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia).

Rafizi masih menunggu rayuannya di Mahkamah Tinggi. Beliau tidak dapat menyertai pilihan raya umum 9 Mei lalu disebabkan sabitan itu kerana Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan menyatakan ahli Parlimen hilang kelayakan selama 5 tahun, jika sabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000.

Rafizi mungkin berdepan tentangan penyandang Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali dalam pemilihan PKR, walaupun menteri hal ehwal ekonomi itu belum mengumumkan sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya atau bertanding jawatan lain.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan hasrat bertanding sebagai presiden parti, jawatan yang disandang isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Rafizi melancarkan kempennya Ahad lalu bersama 8 regunya dengan berkata, Anwar memerlukan pasukan yang “100% setia kepadanya” untuk menjadi perdana menteri.

Beliau memberi 4 sebab untuk merebut jawatan nombor 2 itu, termasuk memperkukuhkan Pakatan Harapan, mengekalkan gerakan reformasi serta menjaga kebajikan ahli PKR dengan menubuhkan koperasi.

Tiada ulasan: