Ahad, 29 Julai 2018

BN ada peluang menang PRK Sungai Kandis

Manzaidi Mohd Amin

Lokman bakal membuat kejutan dengan keputusan PRK 4 Ogos ini.
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Mohamad Hasan dan penyokong Barisan Nasional berarak menghantar calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam menghantar borang pencalonan Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis di Dewan Besar Tanjung MBSA, Seksyen 19, Shah Alam, Selangor. foto AFIQ RAZALI
 

SHAH ALAM – Sebelum ini, penulis meletakkan peratus menang kalah dua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Kandis sekadar antara 30-70, iaitu 30 peratus jumlah undi dipeolehi calon Barisan Nasional (BN) dan 70 peratus untuk calon PKR.

Perangkaan yang tidak memihak kepada calon BN, Datuk Lokman Noor Adam itu diberikan berdasarkan kepada keputusan yang diperolehi BN dalam tiga Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

BN hanya memenangi kerusi Sungai Kandis, yang mana sebelum ini adalah DUN Sri Andalas, pada PRU tahun 2004.

Selepas itu, sehingga PRU14, 9 Mei lalu, BN seolah tidak mempunyai peluang atau harapan untuk menang.

Bagaimanapun, PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos ini yang diadakan berikutan kematian penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimie Shafie pada 2 Julai lalu, menunjukkan ada tanda-tanda keajaiban bakal berlaku.

Kalau dulu menyaksikan pertandingan tiga penjuru (kecualikan penyertaan calon Bebas dan PRM), tetapi kali ini, pertandingan sebenar hanyalah dua penjuru, iaitu antara Lokman dengan Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Di sini, kita dapat melihat kekuatan sebenar kedua-dua parti yang bertanding kerana Sungai Kandis adalah kubu kuat antara PKR dengan BN.

Namun, kehadiran Pas ke kawasan itu, sedkit sebanyak telah menarik sokongan BN kepadanya, menyebabkan jumlah undi diperolehi Datuk Kamaruzzaman Johari pada PRU14 yang lalu berkurangan.

Hari ini, satu keajaiban berlaku, apabila Pesuruhjaya Pas Selangor, Sallehin Mukhyi menyatakan secara terbuka sokongan parti dan penyokongnya kepada calon BN.

Pengakuan itu, secara tidak langsung memberi perkhabaran gembira kepada BN, dan menambah kuatkan lagi usaha jenteranya bertemu pengundi menjelang tempoh berkempen berbaki lima hari sahaja lagi.

Seperti kata Lokman sebelum ini, jika Pas menyokongnya, beliau hanya memerlukan kira-kira 5,000 undi tambahan untuk mengalahkan Mohd Zawawi.

Ini kerana, jumlah undi BN pada PRU14 sebanyak 11,518, manakala undi Pas sebanyak 7,573 undi.

Jika dicampur keduanya, BN akan memperolehi 19,091, sedangkan PKR mendapat 23,998 undi.

Jika 23,998 undi ditolak dengan 19,091, BN masih kalah 4,907 undi. Tetapi hasil kerja kuat jentera parti BN dan dibantu oleh jentera kempen Pas, Lokman menaruh keyakinan beliau akan menang.

Dengan itu, penulis mengubah anggaran perangkaan 30-70 kepada 50-50, iaitu 50 peratus undi untuk BN dan 50 peratus juga undi untuk PKR.

Lebihan 20 peratus untuk BN, berbanding perolehan 30 peratus sebelum ini disebabkan bantuan Pas, yang telah diberi restu oleh pucuk kepimpinan tertinggi parti itu kepada BN.

Umum tahu Pas berkonfrontasi dengan PH disebabkan mulut celupar DAP yang mengguris hati dan perasaan pemimpin Pas.

Tidak tahan dengan kesombongan tahap melampau pemimpin DAP itu, Pas akhirnya mengumumkan keluar dari Pakatan Rakyat (PR) dan berjuang bersendirian dalam blok ketiga pembangkang. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: