Khamis, 19 Julai 2018

SST: PH khianat manifesto, tipu rakyat

Oleh Athirah Huda Zalhe

Kerajaan patut rasa malu, bersalah kerana gagal pulih ekonomi negara


BANGI– PAS menyifatkan rancangan kerajaan Pakatan Harapan (PH) melaksanakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sebanyak 10 peratus dan enam peratus mulai 1 September ini, sebagai pengkhianatan terhadap manifesto parti itu serta penipuan kepada rakyat Malaysia. 

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, PAS konsisten menolak pelaksanaan SST, termasuk cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerajaan terdahulu.

Beliau berkata, kerajaan PH seharusnya rasa bersalah dan malu kerana gagal memulihkan ekonomi negara, termasuk mengurangkan kos sara hidup rakyat sepanjang tempoh 60 hari memerintah negara.

“Bermula dengan manipulasi hutang RM1 trilion, tidak mengurangkan kadar tol serta harga petrol, menaikkan tarif elektrik bukan domestik, melakukan u-turn pembayaran PTPTN, melakukan u-turn projek mega ECRL dan LRT3 dan yang terbaru memperkenalkan semula SST sebanyak 10 peratus dan 6 peratus.

“Apa beza Pakatan Harapan dengan Barisan Nasional? PH tandus idea untuk membina semula ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nasrudin berkata, kegagalan kerajaan itu secara tidak langsung telah membebankan rakyat kebanyakan, khususnya golongan M40 dan B40.

“Indeks Harga Pengguna (IHP) pada bulan Jun 2018 telah menunjukkan peningkatan 0.8% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Ini bermakna kenaikan tarif elektrik pada bulan Julai dan disusuli dengan SST pada bulan September akan terus melonjakkan bebanan hidup rakyat,” katanya.

 

Beliau berkata, PAS dalam manifestonya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu mempunyai tawaran lebih untuk diperkenalkan kepada rakyat, sebagai menggantikan GST dan SST.

Katanya, parti itu bercadang mengenakan Cukai Simpanan Korporat dan Cukai Pegangan Saham sebanyak 2.5 peratus sahaja.

“Itu pun kedua-dua cadangan cukai ini tidak membebankan rakyat amnya yang terdiri dalam kalangan M40 dan B40 kerana ia bukan cukai kepenggunaan. 

“Malah diunjurkan sekiranya kedua-dua cukai ini dilaksanakan, kerajaan boleh memperoleh sekitar RM40 hingga RM50 bilion setahun iaitu jumlah yang lebih tinggi daripada kutipan GST dan SST serta tidak meletakkan pergantungan sepenuhnya kepada pendapatan hasil petroleum negara,” katanya.

Kelmarin, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengesahkan Akta SST akan dibentangkan di Dewan Rakyat bulan depan sebelum diluluskan.

Katanya, SST dijangka menghasilkan pendapatan sebanyak RM4 bilion kepada kerajaan untuk tahun ini.


Tiada ulasan: