Selasa, 31 Julai 2018

Maszlee digesa selamatkan sekolah Tamil di Kedah

 


Kelab Belia-belia Tamil (KBBT) Kedah hari ini menggesa Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik menyelamatkan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Dublin 7 yang terletak di Kulim, Kedah.

Menurut L Rajini, Presiden KBBT Kedah, sekolah itu yang kini berada di ambang penutupan perlu diberi perhatian segera

"Sekolah ini kini hanya mempunyai 8 murid sahaja. Kesemua murid belajar di sekolah adalah dari bandar Kulim di mana segala kos pengangkutan ditaja oleh pemimpin politik dan ahli perniagaan dalam usaha menyelamatkan sekolah ini daripada ditutup.

"Ladang ini lama ditutup. Tiada penghuni. Yang adapun lima atau enam keluarga Indonesia. Kami penduduk di kawasan sekitar Kulim sangat risau dengan masa depan sekolah ini yang mungkin akan ditutup tahun depan," kata Rajini kepada Malaysiakini.

"Kami nak Menteri Pendidikan segera memberi perhatian agar sekolah ini dipindahkan ke kawasan berdekatan bandar Kulim," tambah beliau lagi.

SJK (T) Ladang Dublin 7 merupakan salah sebuah sekolah yang didirikan semasa zaman kolonial British. Pembangunan bandar Kulim dan penghijrahan penduduk ladang ke kawasan bandar mengakibatkan sekolah ini terbiar.

Namun, usaha pemimpin tempatan dan NGO-NGO tempatan dengan menghantar murid dari bandar Kulim ke sekolah ini sejak lewat tahun 2010 terus menyelamatkan sekolah itu daripada ditutup.

"Bagaimanapun, menghantar murid dari kawasan lain ke sekolah ini bagi menyelamatkannya tidak memberi manfaat selepas kebanyakan ibu bapa risau jarak ke sekolah yang sangat jauh khususnya dari Kulim.

"Bagi kami, penyelesaian terbaik menyelamatkan sekolah ini adalah memindahkan sekolah ini ke kawasan Kulim," jelasnya.

Pindah ke Kulim

Menurut Rajini, pada tahun 2015, pihak sekolah bersama Lembaga Pengelola Sekolah dan Persatuan bekas Murid Ladang Dublin 7, mengenal pasti sebidang tanah di Taman Mutiara, Sungai Kop, Kulim.

"Kawasan ini sangat strategik untuk pembinaan sekolah Tamil kerana terdapat lebih 500 keluarga India tinggal berdekatan. Namun, usaha ini digagalkan oleh segelintir orang yang mempunyai agenda tertentu.

"Kami harap menteri pendidikan segera memberi tumpuan terhadap sekolah ini agar sekolah ini dapat diselamatkan," ujarnya.

Sementara itu, Senator Datuk S Anandhan yang dihubungi Malaysiakini berkata MIC di kawasan Kulim telahpun mengenal pasti satu penyelesaian tetap iaitu sekolah asrama penuh.

"Pada pemerintahan BN, bekas menteri pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid telahpun setuju secara lisan untuk membina satu sekolah asrama penuh di kawasan sekolah Ladang Dublin 7 yang sedia ada sekarang.

"Kami harap kerajaan Pakatan Harapan meneruskan cadangan BN," tegas Anandhan lagi.


Tiada ulasan: