Jumaat, 27 Julai 2018

SPR terima pemakluman rasmi kekosongan kerusi DUN Balakong

THE MALAYSIAN TIMES
 


PUTRAJAYA:  Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong, kata Setiausaha SPR Datuk Mohamed Elias Abu Bakar.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata pemakluman rasmi itu diterima daripada Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Ng Suee Lim hari ini.

Kekosongan kerusi tersebut adalah berikutan kematian penyandangnya, Ng Tien Chee akibat kemalangan di Lebuhraya Grand Saga pada 20 Julai lepas.

Sehubungan itu, Mohamed Elias berkata SPR akan mengadakan mesyuarat khas pada Isnin ini (30 Julai), jam 10 pagi di Ibu Pejabat SPR di sini bagi membincangkan tarikh-tarikh penting Pilihan Raya Kecil (PRK).

Ia termasuklah tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dalam pilihan raya itu dan persiapan-persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut, katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Ng, anggota DAP yang bertanding atas tiket PKR, mengalahkan dua pencabarnya​​, Lim Chin Wah (BN) dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.—Bernama

Tiada ulasan: