Sabtu, 28 Julai 2018

PRK SG KANDIS: KERJASAMA ANTARA DUA PARTI MELAYU – LOKMAN

Wartawan Watan Online
 



Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis diharap menjadi titik tolak kepada lebih banyak kerjasama antara dua parti utama orang Melayu iaitu UMNO dan PAS pada masa depan.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam berkata, gabungan antara UMNO dan PAS mampu menggerunkan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Katanya, pakatan pembangkang yang kuat diperlukan bagi menyuarakan sebarang isu, terutamanya yang berkaitan orang Islam.

“UMNO dan PAS merupakan tunjang kekuatan Islam dan Melayu di negara kita. Jadi tidak mustahil andai satu hari nanti kedua-dua parti boleh bergabung atau membentuk kerjasama.

“Dalam politik tiada yang mustahil serta macam-macam perkara boleh belaku dalam politik,” katanya kepada pemberita selepas turun bertemu masyarakat di Sungai Kandis, pada Jumaat.



Semalam, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Syed Saddiq Abdul Rahman mengakui UMNO dan PAS sedang menguji sokongan rakyat pada PRK Sungai Kandis.

Beliau berkata, sekiranya PH tidak menang besar, ia memberi isyarat bahawa UMNO dan PAS akan bergabung menentang PH pada pilihan raya umum akan datang.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengakui parti itu mendorong ahlinya mengundi calon UMNO pada PRK Sungai Kandis.

Selain itu, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan dilaporkan berkata PH perlu dikalahkan dalam PRK Sungai Kandis pada 4 Ogos ini kerana masih gagal menunaikan janji Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) terutama yang terkandung dalam janji 100 hari.


Tiada ulasan: