Selasa, 31 Julai 2018

Belum ada tindakan ke atas premis catat kekerapan kes HFMD

MALAYSIAKINI

   

PARLIMEN l Premis penjagaan kanak-kanak yang mencatat kekerapan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) luar biasa boleh diambil tindakan, kata Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata pihak kementerian akan memantau perkembangan kes berkenaan dan berbincang mengenai tindakan yang boleh diambil terhadap mereka.

“Pastinya wabak seperti ini perlu dicatat dengan baik, dan taska atau premis seperti ini andainya berlaku kekerapan luar biasa perlu diambil tindakan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) berhubung tindakan kerajaan terhadap premis penjagaan kanak-kanak seperti taska yang mencatat statistik kes HFMD yang tinggi.

Dzulkefly bagaimanapun berkata sehingga kini belum ada tindakan yang diambil terhadap mana-mana premis atas isu sedemikian.- Bernama


Tiada ulasan: