Isnin, 30 Julai 2018

Pemuda Pas sasar peningkatan ahli

Pemuda Pas sasar peningkatan ahli
Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khiruddin (empat,kiri) menerima cenderahati daripada Salim.
 
 
SIK - Dewan Pemuda Pas Kedah akan memperkuatkan Pemuda di peringkat kawasan dan cawangan.
Ketua Pemuda Pas Kedah, Salim Mahmud berkata, tumpuan itu diberikan dalam bentuk peningkatan ahli Pemuda.

Menurutnya, organisasi seperti lajnah-lajnah dalam Pas termasuk Unit Amal turut diberikan perhatian sama.

"Sekarang ini Pemuda paling ramai ialah di Kuala Nerang, jumlahnya melebihi 200 orang. Kita akan fokus kepada bilangan ahli.

"Begitu juga Unit Amal, di setiap kawasan sekurang-kurangnya perlu ada 13 orang anggota, walaupun ada kawasan yang mempunyai ahli lebih ramai,"katanya .

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian selepas tamat Muktamar Tahunan kali ke-52 Dewan Pemuda Pas Kedah di Markas Pas Sungai Pau kelmarin.

Tambahnya, Dewan Pemuda Pas juga tidak akan mengabaikan setiap isu yang berlaku di negara ini.

Beliau berkata, dalam tempoh lima tahun ini Pas menyasarkan kemenangan lebih daripada 15 kerusi.

"Sekarang kita ada 15 kerusi dan kita perlukan sekurang-kurangnya lagi empat kerusi,"katanya.

Beliau berkata, pengundi Pas yang memberikan undi kepada Pakatan Harapan ( PH) kini rasa tertipu.

"Mereka sokong PH kerana mahu Umno jatuh, tapi kerajaan hari ini buat lain daripada sepatutnya yang membuatkan mereka rasa ditipu.

"Dengan apa berlaku hari ini, satu tindakan penyatuan Melayu-Islam perlu ada,"katanya.

Beliau berkata, melalui Muktamar kali ini, Pas diharap bebas daripada masalah dalaman sekaligus dapat memberikan tumpuan penuh hadapi PRU15.

Turut hadir, pimpinan Pas negeri Ahli Parlimen Sik, Tarmizi Sulaiman, Adun Belantik, Mohd Isa Shafie dan Ketua Pas Sik, Subki Sulaiman.

Tiada ulasan: