Jumaat, 27 Julai 2018

Jika iktiraf UEC, GPMS buat sijil peperiksaan sendiri


Jika iktiraf UEC, GPMS buat sijil peperiksaan sendiri
Zambri Mohd Isa
 
 
SHAH ALAM - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) membantah keputusan kerajaan yang berhasrat mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk digunakan dalam kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam.

Presidennya, Zambri Mohd Isa berkata, sekiranya kerajaan mengiktiraf UEC, ia bermakna badan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan peperiksaan tersebut iaitu Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) turut sama diiktiraf.

Menurutnya, situasi itu akan memberi lebih banyak impak negatif kepada negara malah ia mampu menyebabkan sistem pendidikan negara rosak serta tidak mencapai Dasar Pendidikan Kebangsaan.

"Saya tak pasti kerajaan sedar atau tidak kerana kalau dikaji balik, UEC ditadbir oleh sebuah NGO dan bayangkan kalau NGO itu diiktiraf, nanti ramai lagi NGO akan minta perkara sama kepada kerajaan.

"Kalau kerajaan iktiraf UEC, GPMS akan buat sijil peperiksaan sendiri dan minta kerajaan luluskan juga sijil itu. Barulah nampak adil," katanya kepada Sinar Harian.

[ARTIKEL BERKAITAN: Iktiraf UEC wajib lulus BM dan Sejarah: Idris]
[ARTIKEL BERKAITAN: Iktiraf UEC, sistem pendidikan akan kucar-kacir]

Tambah Zambri, pihaknya mendesak kerajaan membatalkan pengiktirafan UEC meskipun ia terkandung dalam manifesto Pakatan Harapan memandangkan ia hanyalah sebagai 'panduan'.

"GPMS memang bantah dan kita faham, kerajaan Harapan katakan bahawa manifesto hanya panduan. Jadi, kalau itu yang dikatakan, kita mendesak panduan manifesto UEC ditolak sebab manifesto itu bukan janji, dikatakan sebagai panduan sahaja.

"Jika panduan, tak perlulah kita ikut perkara ini (pengiktirafan UEC) yang boleh merosakkan sistem pendidikan negara," tegasnya.

Mengulas lanjut, Zambri berpendapat kepujian dalam subjek sejarah juga perlu disertakan sekali sebagai syarat mengiktiraf sijil berkenaan, bukan hanya bahasa Melayu.

[ARTIKEL BERKAITAN: Rancangan iktiraf UEC akan diteruskan]
[ARTIKEL BERKAITAN: Iktiraf UEC beri kesan negatif:I-Guru]

Jelasnya, mereka yang mengambil peperiksaan itu adalah rakyat Malaysia maka perlu memahami dan tahu perihal sejarah negara ini dalam usaha melahirkan patriotisme dan semangat kenegaraan dalam kalangan mereka.

"Saya rasa paling wajar kena ada subjek sejarah, kena lulus juga. Mereka (yang mengambil peperiksaan) rakyat Malaysia, perlu tahu sejarah negara kita," ujarnya.

Isu UEC terus menjadi bualan hangat apabila kerajaan dilihat seakan mahu meluluskan pengiktirafan sijil itu meskipun ia mendapat tentangan dan bantahan ramai pihak.

Tiada ulasan: