Selasa, 31 Julai 2018

Tiada pilihan raya PBT dalam 3 tahun, kata menteri

 
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata kerajaan memerlukan masa untuk menjalankan kajian ke atas pelbagai aspek dan menyediakan kertas kerja untuk dibentangkan kepada Kabinet.



Zuraida Kamaruddin berkata, kerajaan mengambil beberapa langkah, termasuk menubuhkan jawatankuasa di peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta mengadakan bengkel bagi membincangkan perkara itu.


KUALA LUMPUR: Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak akan diadakan dalam 3 tahun ini kerana kerajaan memerlukan masa untuk menjalankan kajian ke atas pelbagai aspek, termasuk perundangan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

“Antara perkara teknikal yang harus kita lihat ialah meminda beberapa undang-undang, antaranya Akta Kerajaan Tempatan, Akta Pilihan Raya 1998 dan Akta Ibu Kota Persekutuan.

“Kita memerlukan masa 3 tahun memandangkan keadaan kewangan negara belum stabil, ekonomi belum stabil. Untuk mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan, ia memerlukan kewangan banyak, jadi kita ambil masa 3 tahun,” katanya menjawab soalan lisan Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 26 Mei lalu, Zuraida dilaporkan berkata, pilihan raya PBT mungkin boleh dilaksanakan dalam masa sekurang-kurangnya 3 tahun lagi.

Katanya, buat masa ini, kerajaan Pakatan Harapan perlu mengutamakan perkara lain terlebih dahulu seperti memastikan kedudukan kewangan negara stabil.

Hari ini, Zuraida berkata, kerajaan sudah mengambil beberapa langkah, termasuk menubuhkan jawatankuasa di peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

“Satu bengkel pada 12 Julai lalu melibatkan beberapa agensi seperti Suruhanjaya Pilihan Raya, Kementerian Wilayah dan penasihat undang-undang.

“Hasil daripada bengkel ini, mereka membuat satu ‘roadmap’ yang mana pada tahun ini, kita akan kaji semua perundangan dan langkah menyediakan satu kertas kerja untuk dibentangkan di Kabinet untuk diluluskan.”

Beliau berkata, kementeriannya juga akan turun padang memberi penerangan kepada rakyat, sebelum mengadakan pilihan raya PBT.

Tiada ulasan: