Jumaat, 27 Julai 2018

MP Pasir Gudang dilepas tanpa bebas tuduhan hasutan

THE MALAYSIAN TIMES
 


SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas tanpa membebaskan anggota Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, atas tiga pertuduhan menerbitkan kenyataan menghasut di laman sosial Twitter, hampir empat tahun lalu.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain memutuskan sedemikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Naliatul Huzaimi Ab. Rasip memaklumkan bahawa Peguam Negara telah menerima representasi daripada pihak tertuduh untuk mengugurkan kes berkenaan, Selasa lalu.

Terdahulu, peguam Eric Paulsen, yang mewakili Hassan, 67, berhujah bahawa anak guamnya berhak mendapat pembebasan penuh daripada kesemua pertuduhan memandangkan Peguam Negara telah menerima representasi yang dikemukakan oleh pihaknya.

Hassan sebelum ini dibicarakan atas tiga pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana didakwa menerbitkan kenyataan menghasut berkaitan pentadbiran bekas menteri besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, barisan Exco negeri serta Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah ketika isu krisis jawatan Menteri Besar Selangor pada 2014.

Beliau turut menghadapi tiga pertuduhan pilihan bagi setiap pertuduhan asal itu.

Bagaimanapun, pihak pembelaan kemudian mengemukakan representasi kepada Peguam Negara berhubung pertuduhan terhadap Hassan, selepas dua saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan.

Hassan didakwa melakukan perbuatan itu menerusi laman sosial Twitter @Hakarim51, di Pejabat Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa), No: 40, Jalan Tengku Ampuan Zabedah A/9A, Seksyen 9, di sini, kira-kira jam 5 petang, 15 Ogos 2014.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa mengulangi perbuatan itu menerusi akaun laman sosial Twitter di lokasi, masa dan hari yang sama.

Bagi pertuduhan ketiga, Hassan didakwa menerbitkan kenyataan menghasut di laman sosial Twitter @zunarkartunis di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman, Kuala Lumpur, kira-kira jam 3 petang pada 10 Feb 2015.

Dia turut didakwa atas tuduhan pilihan menggunakan Twitter itu untuk membuat dan memulakan pernyataan yang jelik sifatnya berhubung dakwaan sama dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain di tempat, masa dan tarikh sama.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, Hassan didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(c) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan pilihan pula dibuat mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) Akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.– Bernama

Tiada ulasan: