Rabu, 25 Julai 2018

BN dingatkan sedar diri , tidak perlu jelaskan isu kepada rakyat



BN dingatkan sedar diri , tidak perlu jelaskan isu kepada rakyat

Barisan kepimpinan dan anggota BN diingatkan agar sedar diri berikutan parti itu bukan lagi kerajaan.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sehubungan itu, kepimpinan dan anggota parti tidak perlu menjelaskan sebarang isu kepada rakyat kerana ia telah menjadi tanggungjawab kerajaan Pakatan Harapan untuk menyelesaikannya.

“Apa sahaja isu yang timbul seperti kos sara hidup Felda, GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) dan 1MDB (1Malaysia Development Berhad) biarlah kerajaan hari ini yang jawab.

“Kita ini ibarat kain putih, tiada isu lagi… kita sudah kalah, buatlah cara kalah dengan pandai membawa diri dan tidak menjadi cemuhan orang,” katanya ketika berucap pada majlis pengenalan calon BN Pilihan Raya Kecil (PKR) Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Kandis di sini, malam tadi seperti dilapor Bernama.

Turut hadir Setiausaha Agung UmnoTan Sri Annuar Musa, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan calon BN pilihan raya itu, Datuk Lokman Noor Adam.

Dalam pada itu, Mohamad yang juga pengarah pilihan raya kecil tersebut, menasihatkan seluruh jentera parti agar bekerja lebih keras dan terus bersama-sama berganding bahu bagi memenangi pilihan raya berkenaan.

Sementara itu, Annuar berkata BN tetap dengan pendirian untuk meletakkan calon parti itu bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Balakong akan datang.

Kerusi Dun Balakong kosong susulan kematian penyandang Ng Tien Chee dari DAP dalam satu kemalangan Khamis lepas

Tiada ulasan: