Rabu, 25 Julai 2018

Bayi meninggal dunia akibat jangkitan kuman, bukan tersedak susu

THE MALAYSIAN TIMES


MELAKA: Kematian bayi lelaki empat bulan, Yusof Al-Baihakki Zainal Abidin di sini semalam, berpunca daripada jangkitan kuman di paru-paru dan bukan tersedak susu, kata Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Afzanizar Ahmad.

Beliau berkata punca kematian bayi itu diketahui hasil bedah siasat yang dilakukan oleh pihak Hospital Melaka.

“Siasatan polis sehingga kini mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan kematian diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut (SDR),” katanya kepada pemberita hari di sini hari ini.

Media semalam melaporkan seorang bayi lelaki berusia empat bulan yang juga merupakan anak anggota polis di negeri ini dipercayai meninggal dunia akibat tersedak susu.

Afzanizar berkata pihaknya masih belum dapat merakam percakapan daripada ibu bapa bayi tersebut.

“Mayat bayi terbabit selesai dibedah siasat pada pukul 1.05 pagi dan jenazahnya telah selamat dikebumikan di Kelantan sebelum solat Zuhur tadi,” katanya.– Bernama

Tiada ulasan: