SAMA ada Dato’ Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan atau bebas dari penjara – dulu dan sekarang – dialah pemimpun agung PKR sekalipun penubuhan parti itu diisytiharkan oleh isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah.
Wan Azizah, presiden penubuhannya dan presiden selama-lamanya tetapi hakikatnya dia menjalankan tugas suaminya sebagai pengawal jarak jauh.
Mungkin Wan Azizah itu ada daya kepimpinannya, tetapi Anwar dengan keupayaan semula jadi, tiada yang menghalang Wan Azizah itu pemimpin sebenar PKR. Selama-lamanya Anwarlah presiden dengan apa jua nama jawatan yang diberi kepadanya.
Dr. Mahathir yang mengguna pakai nama Pengerusi Bersatu sedang parti itu ada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Mahathirlah menakhodai Bersatu seperti Anwar mengemudi PKR.
Apabila Anwar mula dicalonkan untuk menjadi presiden baru menggantikan Wan Azizah, tiada benda yang baru selain dari ketua umum tidak dipakai lagi atau presiden tidak diguna, kerana di tanah seberang ketua umum itulah presiden.
Jika Wan Azizah sudah tidak jadi presiden, apa pula kedudukannya bagi melayakkan terus jadi Timbalan Perdana Menteri (TPM) selama Anwar belum menjadi Perdana Menteri. Azizah akan turun sebaik saja ditakdirkan ganti Mahathir.
Sekalipun Wan Azizah TPM tetap Anwar membayanginya. Orang rasa Anwarlah TPM sebenar walaupun bukan anggota kabinet. Lazimnya tidak boleh kertas kabinet ke tangan bukan anggota kabinet. Boleh ke penjara semula jika disabitkan memegang kertas kabinet. Tetapi bagaimana hendak menjamin Anwar tidak menengoknya? Lainlah jika Anwar dijadikan ahli kabinet tanpa portfolio bagi menghalalkannya memiliki kertas kabinet. Payah difikirkan Anwar sedia masuk kabinet selagi Azizah TPM.
Apa yang memerlukan Anwar menggantikan Wan Azizah sedang pimpinannya tidak terganggu selama ini. Mungkin sekarang dia tidak dibayangi lagi untuk ke penjara yang menghalalnya memegang jawatan awam. Tetapi Anwar pernah bebas. Dia selesa jadi ketua umum saja. Tidak terlintas untuk menggantikan Azizah ketika itu seperti keadaan sekarang.
Apakah dia terfikir untuk dipenjara lagi, maka biarlah Azizah saja jadi pemimpin rasmi.
Jika dia hendak menggantikan Azizah, dia boleh bila-bila masa saja.
Memang ajaib juga sebagai pemimpin besar reformasi bagi membawa perubahan politik dan pemerintahan, Anwar menjadikan isterinya yang tiada pengalaman politik dan organisasi menjadi pengasas dan pemimpin parti yang ditubuhkan. Ramai yang pintar yang menyokong Anwar yang boleh dijadikan pemimpin semasa Anwar tidak dibenarkan memimpin dalam keadaan apa jua.
Ketika Erdogan dilarang menjawat jawatan awam atas tohmah jenayah yang dikenakan ke atasnya, dia tidak menjadikan isterinya menubuh dan memimpin parti AK yang diasaskannya. Dia jadikan Abdullah Gul dan lain-lain menjalankan kerja Erdogan. Anwar lain, diamanahkannya isterinya, tidak orang lain. Mengapa?
Mungkin banyak fitnah jika orang lain jadi orang kanan Anwar. Mungkin orang lain semuanya tidak boleh dipercayai seperti setianya seorang isteri. Memang dalam sejarah PKR, tidak ramai pengasas PKR kekal dalam PKR melainkan Azizah dan Azmin Ali. Ramai yang mengkhianati.
Mungkin itu faktor Wan Azizah jadi orang nombor duanya.
Jika masa bebas dulu Anwar tidak rasa perlu jadi presiden, mengapa sekarang pula dia setuju? Mungkin ada sesuatu yang dirahsiakan dan mencabar parti itu yang memerlukan Anwar tidak boleh guna selain dirinya sendiri. Tambahan pula usianya lanjut dan selalu ke hospital, maka PKR perlu dipasak di sana sini.
Azizah perlu digantikan bagi membolehkan Anwar menyediakan pengganti yang benar-benar anwariyin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan