Selasa, 31 Julai 2018

Adun Seri Setia tak tenat, hanya bercuti, kata keluarga

 
Shaharuddin Badaruddin hanya bercuti rehat selama sebulan selepas menjalani rawatan.


Ahli keluarga Shaharuddin Badaruddin meminta semua pihak memberikan ruang kepada naib presiden PKR itu sepanjang tempoh bercuti. (Gambar Facebook)


SHAH ALAM: Ahli keluarga Adun Seri Setia, Shaharuddin Badaruddin menafikan laporan mengatakan exco Selangor itu kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Dalam satu kenyataan Pejabat Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Shaharuddin dikatakan hanya cuti rehat selama sebulan selepas menjalani rawatan.

Setiausaha Kanannya, Zafrullah Aris berkata keputusan Shaharuddin untuk bercuti dan berehat mendapat keizinan daripada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

“Pihak keluarga nafikan berita yang dilapor di media kononnya Shaharuddin kritikal dan dirawat di ICU.

“Untuk makluman, beliau dinasihatkan berehat setelah jalani rawatan dan diizinkan bercuti selama sebulan oleh menteri besar Selangor,” katanya.

Ahli keluarga naib presiden PKR itu juga meminta semua pihak memberikan ruang kepada Shaharuddin sepanjang tempoh beliau bercuti.

“Sama-samalah kita berdoa supaya beliau dipermudahkan dalam segala urusan dan diberi kesejahteraan untuk dapat bertugas semula,” katanya.

Shaharuddin dilapor berada dalam keadaan kritikal dan kini ditempatkan di ICU sebuah hospital di ibu kota. Beliau dikatakan menghidap kanser usus tahap 4.

Pada pilihan raya lalu, Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan 29,250 undi.

Beliau mengalahkan calon Barisan Nasional, Yusoff M Haniff yang memperolehi 9,878 undi; calon PAS, Mohd Ghazali Daud (4,563) dan calon bebas, S Vigneswaran (217)

Tiada ulasan: