Sabtu, 28 Julai 2018

Isu LTTE: Kenapa Mujahid awal lagi berpihak kepada Ramasamy?


Manzaidi Mohd Amin



Nasrudin Hasan
Nasrudin Hasan

KUALA LUMPUR – Kenyataan Menteri Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa yang mengatakan dakwaan terhadap Dr. P. Ramasamy sebagai tuduhan liar dibidas pemimpin Pas.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Nasrudin Hasan berkata, kenyataan Mujahid yang pemimpin DAP itu adalah kawan baiknya juga seolah-olah menteri itu berpihak sebelum siasatan dibuat.

Menurut beliau, Mujahid jangan membuat keputusan awal sebelum Ramasamy ditahan dan disiasat secara rapi.

“Serahkan kepada polis unttuk siasatan berdasarkan lebih 60 laporan polis telah dibuat pelbagai pihak di seluruh negara.

“Apabila menteri agama ini membuat kenyataan awal, ia akan mempengaruhi siasatan dan tindakan polis,” katanya mengulas kenyataan Mujahid yang akan mengaturkan pertemuan enam mata antara Ramasamy dengan Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Maza) tidak lama lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dilaporkan berkata, pertemuan itu bagi meminta penjelasan mengenai dakwaan terhadap P Ramasamy yang dikatakan terlibat dengan kumpulan militan, Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) di Sri Lanka, selain meredakan keadaan antara kedua pihak.

Mengulas lanjut, Nasrudin menyatakan isu itu bukan bersifat peribadi antara Maza dengan Ramasamy sebaliknya membabitkan keselamatan negara.

Logiknya, bukan hanya Maza yang membantah, bahkan seluruh pencinta kedamaian mahu perkara yang sama.

“Saya tidak nampak apa signifikannya pertemuan itu? Kononnya diadakan secara tertutup kerana tidak mahu ia disensasikan sebaliknya mahukan penyelesaian.

“Tetapi menteri sudah umum kepada media malah menyebut beliau akan memanggil media untuk buat liputan sebelum dan selepas pertemuan itu kelak,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Mujahid tidak wajar menjadikan isu Ramasamy sebagai pertembungan peribadi dengan Maza sehingga memerlukan pertemuan antara kedua-dua mereka.

“Puluhan laporan polis terhadap Ramasamy yang memerlukan penyiasatan. Menteri sewajarnya membiarkan polis menjalankan siasatan terlebih dahulu. Kenyataan menteri yang dilihat berpihak kepada Ramasamy dibimbangi boleh mempengaruhi siasatan polis,” katanya. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: