THE MALAYSIAN TIMES
KUALA LUMPUR: Seorang penyokong kerajaan berpendapat bahawa cadangan memansuhkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) bukan bermakna kerajaan bertoleransi dalam hal keganasan.
Nik Nazmi Nik Ahmad (PH-Setiawangsa) berkata sebaliknya, adalah menjadi kewajipan bagi kerajaan meminda dan memansuhkan undang-undang dan program yang zalim serta menekan rakyat selain melanggar prinsip hak asasi serta kebebasan individu.
Beliau berkata masalah yang timbul ekoran penguatkuasaan SOSMA adalah ramai individu yang tidak bersalah atau melakukan kesalahan yang dianggap kecil dihukum secara ‘disproportionate’ (tidak adil).
“Undang-undang seperti SOSMA, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU), Akta Hasutan 1948 serta Akta Perhimpunan Aman 2012 yang pernah disalah guna pada masa lalu tidak menepati prinsip Perlembagaan Persekutuan yang menjadi tulang belakang demokrasi berparlimen di negara ini dan ia harus dimansuhkan.
“Mereka yang ditahan tidak dibenarkan diikat jamin walaupun telah dibebaskan oleh mahkamah sehingga selesai perbicaraan malah wujud tuduhan serius berlakunya penyeksaan dalam tahanan,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat semalam.
Selain itu, Nik Nazmi berkata program seperti Biro Tata Negara perlu ditamatkan dengan segera kerana ia tidak memberi manfaat kepada negara malah perbelanjaan yang digunakan juga satu pembaziran.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung hari ini.–Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan