Sabtu, 28 Julai 2018

ADUN Gual Ipoh sertai PPBM?

Manzaidi Mohd Amin
Sekeping gambar yang diambil menggunakan kamera telefon bimbit menunjukkan Bakri @ Mohd Bakri (tiga dari kiri) bersama Mukhriz.
Sekeping gambar yang diambil menggunakan kamera telefon bimbit menunjukkan Bakri @ Mohd Bakri (tiga dari kiri) bersama Mukhriz.
KUALA LUMPUR – Khabar angin seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) dari Kelantan akan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bertiup kencang sejak semalam.

Ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Timbalan Pengerusi PPBM Kelantan, Datuk Sazmi Miah yang mendakwa, pihaknya masih dalam perbincangan dengan ADUN berkenaan.

BN Kelantan memenangi lapan daripada 45 kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu, manakala selebihnya dimenangi Pas, sekali gus menunjukkan penambahan lima kerusi daripada 32 kerusi DUN pada PRU13.

Kerusi dimenangi BN Kelantan ialah DUN Air Lanas, Kuala Balah, Bukit bunga, Gual Ipoh, Kok Lanas, Nenggiri, Galas dan Paloh.

Bagaimanapun, khabar daripada sumber dalaman UMNO mengatakan, wakil rakyat yang dikatakan akan menyertai PPBM itu ialah ADUN Gual Ipoh, dalam Parlimen Tanah Merah, Bakri @ Mohd Bakri Mustapha.

Gambar beliau bersama Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir yang datang melawat Kelantan baru-baru ini, turut tular dalam media sosial, menguatkan lagi khabar angin itu.

Bakri @ Mohd Bakri memenangi kerusi DUN Gual Ipoh selama dua penggal dari PRU 13 setelah dipilih menggantikan bekas penyandangnya, Allahyarham Datuk Hashim Safin yang merupakan bekas Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah.

Pada PRU14 yang lalu, beliau mendapat 8,509 undi mengalahkan calon Pas, Wan Yusoff Wan Mustafa (7,094 undi) dan calon PKR, Datuk Mohd Soba Hussin (449 undi).

Sementara itu, di Kota Bharu semalam, Sazmi dilaporkan mengesahkan terdapat perbincangan seorang ADUN BN negeri itu yang bakal menyertai PPBM.

Menurutnya, perbincangan telah lama diadakan, namun keputusan akhir itu bergantung kepada ADUN itu sendiri.

MalaysiaGazette turut menghantar teks soalan kepada Bakri @ Mohd Bakri melalui aplikasi Whasapp berhubung perkara itu, tetapi tiada jawapan diterima.

Sebelum ini, media turut melaporkan Ahli Parlimen Tanah dari BN, Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz dikatakan bakal menyertai PPBM, tetapi beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian itu telah menafikan khabar angin berkenaan. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: