KUALA LUMPUR: Kejayaan skuad angkat berat negara meraih dua pingat emas
dan satu gangsa di Sukan Komanwel Gold Coast 2018 tercemar apabila
seorang atletnya yang beraksi pada temasya kedua terbesar dunia itu,
disahkan positif bahan terlarang.
Pengesahan mengenainya dibuat Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) serta Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), semalam.
Bagaimanapun, atlet terbabit bukan positif ketika beraksi di Sukan
Komanwel, sebaliknya ketika ujian khas yang dilakukan ADAMAS di sini
sebelum berlepas ke Gold Coast.
Pengarah ADAMAS, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata, atlet terbabit
didapati positif bahan terlarang stanozolol - sejenis bahan terlarang
daripada anabolik steroid.
"Kami menerima permohonan daripada pengurus sukan angkat berat yang
meminta ADAMAS menjalankan ujian khas di luar pertandingan buat tiga
atletnya yang baru pulang daripada menjalani latihan dan pertandingan di
Balikpapan, Indonesia.
"Jadi, kami mempertimbangkan dan tahu sekiranya berlaku apa-apa pun
mungkin keputusan sudah lewat. Namun, disebabkan sukan ini berisiko
tinggi dan permohonan itu datang daripada MSN (Majlis Sukan Negara)
dengan pengetahuan sukan angkat berat, kita akur dan jalankan (ujian).
"Justeru, kami setuju melakukannya pada 28 Mac dan selepas ujian atlet
terbabit bertolak ke Gold Coast dan kami hanya menerima keputusan ujian
itu pada 6 April," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai
PABM bagi memaklumkan keputusan berkenaan.
Dr Ramlan berkata, pihaknya sudah menjalankan program ujian doping
dengan sebaiknya sebelum temasya kedua terbesar dunia itu bermula dan ia
dilakukan secara berfasa dengan angkat berat mula menjalani ujian pada 5
Februari lalu.
Namun, pihaknya tidak dapat melakukan ujian secara menyeluruh kepada
atlet angkat berat memandangkan tiga daripada atlet berkenaan berlepas
menjalani latihan dan pertandingan di Balikpapan, Indonesia.
"Bagaimanapun, atlet terbabit sudah meminta ujian sampel B dilakukan
dan keputusan hanya bakal diketahui dalam tempoh dua minggu," katanya.
Berdasarkan rekod, ini bukan kali pertama atlet angkat berat terbabit
dalam penyalahgunaan bahan larangan, sebaliknya banyak kes berlaku yang
menjadi alasan utama sukan itu dikeluarkan daripada Program Sukan Teras.
Antara atlet angkat berat yang pernah didapati positif doping sebelum
ini ialah Khairul Anuar Mohamad (SUKMA Sarawak 2016), Constantine
Clement (latihan di China, 2016) dan Hafifi Mansor (positif di Terbuka
Australia 2017).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan