Ahad, 29 April 2018

PARLIMEN KOTA RAJA : MAT SABU BUKAN NAMA BESAR – GUNALAN




“Mat Sabu pernah kalah dalam pilihan raya. Dia bukan nama besar. Jadi saya tidak perlu takut untuk lawan dia,” kata calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Kota Raja, V Gunalan.

Gunalan berkata, beliau yakin status sebagai anak Selangor turut memberi kelebihan kepadanya berbanding Presiden Parti Amanah Negara (PAN) itu yang sering bertukar kerusi pada pilihan raya umum (PRU).

“Ada orang cakap Mat Sabu nama besar. Walau apapun saya tidak gerun berdepan dengan dia. Mat Sabu pun pernah kalah dalam PRU, jadi ia memberi harapan kepada BN untuk merampas semula Parlimen ini.

“Pengundi Parlimen ini perlu memilih wakil rakyat tempatan, wakil rakyat anak Selangor. Jangan pilih pemimpin yang suka berpindah kerusi pada PRU,” katanya.

Beliau yang juga Ketua MIC Sepang ditemui pemberita selepas menyerahkan borang permohonan pencalonan di Dewan Kemuning Utama, Kota Kemuning, pada Sabtu.

Pada PRU-14, Parlimen Kota Raja menyaksikan pertembungan di antara Gunalan, Mat Sabu serta Yang Dipertua PAS Kota Raja, Mohamed Diah Baharun.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa pula menyaksikan persaingan lima penjuru antara Datuk R Subramaniam (BN), M Rajan (PAS), Dr G Gunarajah (PKR), M Telai Amblam (PRM) dan P Sundarajoo (Bebas), yang juga bekas AJK PKR Cabang Kota Raja.

Manakala Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Mat Shuhaimi Shafiei mewakili PKR akan menentang Ketua UMNO Bahagian Kota Raja, Datuk Kamaruzzaman Johari (BN), Mohd Yusof Abdullah (PAS) dan blogger, Hanafiah Husin (PRM) bagi DUN Sungai Kandis (N49).

DUN Kota Kemuning pula menyaksikan pertembungan lima penjuru melibatkan V Ganabatirau (PKR), Burhan Adnan (PAS), Tiew Hock Huat (BN), Abdul Razak Ismail (PSM) dan S Rajasekaran (Bebas).


Tiada ulasan: