AMPANG: Parlimen Pandan menyaksikan saingan sengit lima penjuru
membabitkan calon daripada empat parti politik dan seorang calon Bebas.
Barisan Nasional (BN) yang diwakili calonnya, Ketua MCA Pandan, Datuk
Leong Kok Wee, berdepan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan
Ismail dan penyandang Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teratai (DAP), Jenice
Lee Ying Ha yang kini bertanding atas tiket Parti Rakyat Malaysia
(PRM).
Turut bertanding Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Selangor, Mohamed
Sukri Omar (PAS) dan calon Bebas, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya kerusi Parlimen Pandan, Hasrulnizam
Shaari, berkata kelima-lima borang pencalonan itu diterima dengan
masing-masing menghantar borang pencalonan antara jam 9.09 hingga jam
9.44 pagi.
"Saya berpuas hati dan tiada kertas pencalonan ditolak bagi semua calon
dan pengundian akan berlangsung pada 9 Mei ini, dengan pengundian awal
pada 5 Mei.
"Sementara itu, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Teratai pula
menyaksikan pertembungan empat penjuru di antara Ben Liew Pok Boon
daripada BN, Brian Lai Wai Chong (PKR), Mohd Imran Abdul Waha (PAS)
serta Jenice Lee yang turut bertanding kerusi Parlimen," katanya di
Pusat Penamaan Calon Parlimen Pandan di Dewan Majlis Perbandaran Ampang
Jaya (MPAJ).
Bagi DUN Pandan Indah, kerusi itu ditandingi Datuk Mohd Haniff Roslan (BN), Izham Hashim (PKR) dan Iskandar Abdul Samad (PAS).
Kerusi Pandan sebelum ini dimenangi Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli
dengan majoriti lebih 26,000 undi, mengatasi calon BN, Lim Chin Yee.
Bagaimanapun, Rafizi tidak mempertahankan kerusinya berikutan dijatuhi
hukuman penjara 30 bulan kerana mendedahkan empat akaun bank berkaitan
National Feedlot Corporation (NFC) dan Pengerusinya, Datuk Seri Dr
Mohamad Salleh Ismail.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan