MUAR: Anggota Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang bertanding
sebagai calon Bebas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan dipecat
daripada parti, kata Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata perlembagaan parti memperuntukkan mana-mana anggotanya yang bertanding tanpa kebenaran parti boleh dipecat.
"Ini satu perkara yang tak boleh kita benarkan kerana mereka sudah mengkhianati perjuangan parti.
"Mereka telah melanggar disiplin parti, apatah lagi mereka telah
membuat sesuatu yang menimbulkan masalah kepada parti komponen yang
lain," katanya kepada pemberita selepas menghadiri ceramah di Bakri
malam Sabtu.
Beliau ditanya mengenai tindakan Naib Ketua Bahagian PPBM, Hang Tuah
Jaya Prof Madya Dr Kamarolzaman Mohd Jidi yang bertanding sebagai calon
Bebas di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek, Melaka.
Dilaporkan Kamarolzaman berbuat demikian selepas kecewa tidak
dicalonkan di kawasan berkenaan walaupun telah dijanjikan oleh pucuk
pimpinan.
Kerusi itu diserahkan kepada PKR dan pada PRU14 ini, DUN Ayer Molek
menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Kamarolzaman, Rahmad
Mariman (Barisan Nasional), Jantan Abdullah (PAS) dan Farhan Ibrahim
@Alias (PKR).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan