Timbalan Perdana Menteri berkata, sebagaimana
diperuntukkan dalam perlembagaan Umno, mereka yang terlibat secara
langsung, secara automatik terkeluar menjadi ahli Umno.
BAGAN DATUK: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Umno akan memecat anggotanya yang menjadi pencadang, penyokong atau penaja calon bebas dan parti lawan.
Zahid berkata tindakan tegas perlu diambil kerana kumpulan itu mengkhianati parti.
“Saya ingin menyebutkan memang terdapat dalam kalangan pemimpin Umno di peringkat bahagian yang bertanding sebagai calon bebas atau calon parti pembangkang.
“Sebagaimana yang diperuntukkan dalam perlembagaan Umno, mereka yang terlibat secara langsung, secara automatik (mereka) akan terkeluar menjadi ahli Umno,” katanya selepas menghadiri Program NBOS: 1AMANWEEK 2018 Banteras Jenayah Dan Perangi Dadah di Dataran Bagan Datuk hari ini.
Zahid memuji parti politik termasuk pembangkang yang menjaga displin para penyokong sehingga tidak menimbulkan sebarang kekecohan dan kekacauan pada hari penamaan calon semalam.
Beliau berkata tiada sebarang insiden kekerasan dan tidak diingini berlaku yang memerlukan campur tangan polis yang mengawal keselamatan di sekitar kawasan penamaan calon.
Beliau berpuas hati dengan proses penamaan calon di 222 pusat penamaan di seluruh negara termasuk di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak serta di kawasan “hotspot” atau “flash point”.
“Saya ucapkan terima kasih kepada ketua polis negara semalam sewaktu diadakan penamaan calon di seluruh negara kerana tidak berlaku sebarang insiden yang memerlukan campur tangan polis.
“Walaupun ada insiden menggunakan dron tetapi itu adalah di bawah tanggungjawab DCA (Jabatan Penerbangan Awam),” katanya.
Zahid berharap trend itu dapat dikekalkan sepanjang tempoh berkempen terutamanya pada hari pengundian pada 9 Mei ini.
“Saya berharap semua parti politik menghormati peraturan dan mengawal perasaan pengikut masing-masing dan saya berterima kasih kepada polis yang mengambil inisiatif melakukan ‘engagement’ dengan semua parti supaya mereka lebih menjaga berketertiban ketika berkempen dan pada hari mengundi,” katanya.
Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ketika diminta mengulas laporan terdapat kain rentang yang menyinggung dan mencetuskan sensitiviti sepanjang tempoh proses penamaan berlangsung, berkata, ia dilihat sebagai kes terpencil di mana jumlahnya kurang daripada 10 kes di seluruh negara.
“Kita telah mengambil tindakan yang perlu dan jalankan siasatan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan