KOTA BHARU: PAS pecat serta-merta Nik Omar Nik Aziz yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka atas tiket PKR, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata keputusan itu
diambil selepas mengadakan perbincangan dengan kepemimpinan PAS termasuk
Timbalan Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Katanya, tindakan Nik Omar bertanding atas tiket PKR dianggap
bertentangan dengan perlembagaan parti dan perjuangan bapanya
Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat.
"Kita mengambil keputusan memecat Nik Omar serta-merta sebaik saja dia
bertanding dengan parti lain. Malah, tindakan menyertai pakatan
pembangkang diketuai DAP itu tidak boleh diterima selain dianggap
memalukan keluarganya sendiri.
"Kita tidak memalukan Nik Omar sebaliknya beliau sendiri memalukan diri
dan keluarganya. Nik Omar membuat perkara yang menghina pegangan
politik dipegang ahli keluarganya sendiri," katanya lapor BH Online.
Pada masa sama, Takiyuddin berkata, tindakan Nik Omar berkenaan bukan
sesuatu mengejutkan kerana sebelum ini sudah ada khabar angin bahawa
anak kepada bekas Menteri Besar Kelantan itu akan berbuat demikian.
"Namun, PAS tidak terjejas sama sekali walaupun Nik Omar bertanding
atas tiket PKR kerana dalam parti, beliau (Nik Omar) bukan sesiapa
sebaliknya ahli biasa," katanya.
Terdahulu, Nik Omar mengejutkan ramai apabila tampil di pusat penamaan
calon di Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP) di Pengkalan Chepa utuk
bertanding di DUN Chempaka.
Nik Omar akan menentang penyandang calon PAS, Mohamad Fathan Mahmood
dan Mohamad Fareez Noor Amran iaitu dari Barisan Nasional (BN).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan