Oleh Umi Faten Nadia Ezhar
SHAH ALAM: Syarat tambahan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengenai
penggunaan gambar untuk bahan kempen adalah untuk manfaat pengundi bagi
mengelak kekeliruan.
Penganalisis politik, Prof Dr Salawati Mat Basir berpendapat penggunaan
gambar selain daripada pemimpin parti tidak seharusnya menjadi masalah
kepada parti yang bertanding kerana SPR bertujuan untuk membuat
keseragaman menjelang PRU14.
"Saya rasa tidak menjadi masalah sekiranya ingin menggunakan gambar
pemimpin tetapi kebiasaannya parti akan menggunakan gambar calon yang
bertanding. Tetapi pada hari ini, gambar calon hanya digunakan dalam
media sosial sahaja.
"Tapi pada pendapat saya, SPR ingin membuat keseragaman supaya tidak
mengelirukan pengundi. Untuk tidak memeningkan (pengundi), lebih baik
letak gambar pemimpin sahaja seperti Datuk Seri Najib bagi BN dan
gambar-gambar ketua sahaja."
Syarat tambahan SPR melarang meletakkan gambar Tun Dr Mahathir Mohamad
dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menimbulkan ketidakpuasan hati
pemimpin di kalangan pakatan pembangkang yang tindakan SPR itu sebagai
cubaan mencantas peluang Pakatan Harapan (PH) menakluki Putrajaya.
Bagaimanapun, Salawati menyifatkan larangan meletakkan gambar dua
pemimpin besar itu tidak akan memberi kesan kepada PH kerana mereka
merupakan nama besar dan dikenali oleh masyarakat.
"Jadi bila gambar dia dan gambar Mahathir tidak ada, rasanya akan
timbul 'lag' di situ namun mereka bukan nama yang tidak dikenali dan
orang tahu. Jika muka mereka tidak ada, tidak akan menjejaskan
penyokong-penyokong mereka,” ujarnya.
Beliau juga berkata perkara sebegini merupakan rencah biasa dalam poltik untuk melaksanakan strategi masing-masing.
Katanya, jika para pemimpin berpegang untuk berjuang kepada rakyat,
mempunyai manifesto yang bagus dan mampu dilaksanakan mereka tidak
perlu bergantung kepada gambar.
Sebaliknya, jika tidak tahu membuat kerja, dan bergantung kepada gambar
hanya akan menangguk air yang keruh, ujarnya ketika kepada Antarapos.
SPR mengeluarkan syarat-syarat tambahan penggunaan bahan berkempen pada
PRU14 yang melibatkan permit bahan kempen, penggunaan gambar pemimpin
utama parti politik, gabungan gambar pemimpin utama parti politik dalam
satu bahan kempen dan penggunaan lambang atau simbol parti politik.
Syarat-syarat sedia ada seperti mana yang telah ditetapkan sebelum ini
dan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954
dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981
masih terpakai kecuali berkaitan syarat-syarat tambahan yang dinyatakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan