ALOR SETAR: MCA memecat serta-merta 12 ahlinya termasuk tujuh yang
bertanding sebagai calon pakatan pembangkang, selain calon Bebas dalam
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Lembaga Disiplin MCA, Tan Sri Chor
Chee Heung yang masing-masing membabitkan sembilan ahli di Johor, dua
di Perak dan satu lagi di Kedah.
Di Johor, empat daripada sembilan yang dipecat itu ialah Ting Chong
Chai dan Lim Yak Hong yang bertanding sebagai calon Bebas di kerusi
Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, selain Tee Boon Tsong (Calon
DAP DUN Senai) dan Ng Yak Howe (calon DAP DUN Bentayan).
Baki lima lagi ialah Choon Kai Ling, Chew Mui Mui, Ng Lee Chu, Lam Tau
Lai dan Thin Meau Guey yang masing-masing bertindak sebagai pencadang
dan penyokong kepada calon berkenaan.
Di Perak pula, pemecatan membabitkan Chin Kwai Leong dan Chin Kwai Heng
yang masing-masing bertanding atas tiket Parti Sosialis Malaysia (PSM)
di DUN Menglembu and Tronoh, manakala baki satu lagi Yeo Keng Chuan yang
menjadi calon PKR di DUN Kulim, dekat sini.
Chee Heung ketika sidang media pengumuman itu di sini, berkata tindakan
pemecatan itu diambil mengikut Artikel 124(1) Perlembagaan MCA selepas
semua 12 ahli terbabit didapati bertindak bertentangan dengan ketetapan
parti.
"Selepas penamaan calon semalam, majlis presiden merujuk nama 12 ahli
terbabit kepada lembaga disiplin parti selepas didapati melanggar
peraturan Perlembagaan MCA.
"Susulan itu satu mesyuarat tergempar diadakan lembaga disiplin malam
tadi, sebelum bukti dikemukakan dan memutuskan semua 12 ahli berkenaan
melanggar Artikel 122 Perlembagaan MCA.
"Justeru, lembaga disiplin mencadangkan supaya semua 12 ahli terbabit
dipecat serta-merta, yang kemudian dipersetujui majlis presiden parti,"
katanya.
Chee Heung berkata, lembaga disiplin mendapati tujuh ahli yang
bertanding sebagai calon pakatan pembangkang atau calon Bebas itu tidak
bersetuju apabila mereka tidak terpilih sebagai calon PRU-14.
"Keputusan dibuat kepemimpinan parti termasuk dalam soal penetapan
calon untuk PRU-14 adalah muktamad dan jika ada cadangan atau rayuan, ia
juga harus dibuat secara dalaman melalui saluran parti," katanya
mengesahkan sebarang rayuan diserahkan mana-mana 12 nama terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan