PUTRAJAYA: Seorang pengarah eksekutif kanan sebuah syarikat berpangkat
'Datuk' direman enam hari, bagi membantu siasatan berkaitan projek
pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Majistret Fatina Amyra Abdul Jalil membenarkan reman bermula hari ini hingga Isnin.
Permohonan reman dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
(SPRM) terhadap Pengarah Eksekutif Kanan Consortium Zenith Construction
Sdn Bhd berusia 59 tahun itu.
Individu berkenaan ditahan kira-kira jam 8.45 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di sini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
Peguam suspek, Hamidi Mohd Noh, berkata anak guamnya ditahan bagi
membantu siasatan kes berkenaan dan memberi kerjasama penuh kepada SPRM.
Sementara itu, di Pulau Pinang pula, seorang Timbalan Pengerusi sebuah
syarikat pemaju berpangkat Datuk ditahan reman selama enam hari, bagi
kes yang sama.
Perintah tahanan reman sehingga 15 Januari depan itu dikeluarkan
Timbalan Pendaftar Mahkamah Majistret Pulau Pinang, Muhammad Azam Md.
Eusoff.
Semalam SPRM merampas dokumen di beberapa pejabat agensi kerajaan di
Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), yang mempunyai kaitan dengan projek
berkenaan.
Agensi itu turut menyerbu beberapa syarikat berkaitan yang beroperasi di sekitar negeri ini.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki,
berkata serbuan itu dibuat bagi membantu siasatan kes berkaitan projek
mega, yang akan menghubungkan Persiaran Gurney, di sini ke Bagan Ajam di
Seberang Perai Utara.
Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer, yang menghubungkan
Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama
itu dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd, yang terdiri
daripada beberapa syarikat.
Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi, termasuk kos
kajian kebolehlaksanaannya yang terlalu tinggi, selain kaedah pembayaran
membabitkan pertukaran tanah kerajaan negeri.
Pelaksanaannya juga dibantah dibantah penduduk yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Oktober tahun lalu, Kerajaan DAP Pulau Pinang mengakui gagal
menyerahkan laporan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut kepada
Kementerian Kerja Raya, dengan alasan jangkaan pelaksanaan projek
terbabit masih lambat, iaitu pada 2023.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan