Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: Amanah mendapat kerusi paling rendah berbanding parti
komponen Pakatan Harapan (PH) lain kerana tidak diyakini pengaruhnya,
kata penganalisis politik.
Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis
Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, ini
berdasarkan rekod kekalahan Amanah dalam beberapa siri pilihan raya
kecil di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, pada Jun 2016.
"Amanah setakat ini dia belum menunjukkan lagi pengaruh dikalangan
rakyat, masyarakat dan penyokong pakatan pembangkang. Dalam dua kali
pilihan raya pun dan pilhan raya kecil pun dia kalah. Saya fikir dari
segi pengaruh kelihantannya Amanah ini hanya boleh tarik bekas penyokong
PAS sahaja.
"Sebab itu kita lihat Amanah diperuntukkan kerusi yang kecil itu
menunjukkan bahawa kedudukan di dalam PH pun tidak lah sebesar mana.
Menunjukkan pengaruh dia (Amanah) di dalam PH pun tidak sebesar mana
berbanding dengan anggota PH barangkali tidak diyakini sepenuhnya boleh
memenangi banyak kerusi. Itu sebab dia tidak terikat banyak kerusi,"
katanya ketika dihubungi Antarapos hari ini.
Konvensyen gagasan pembangkang itu yang berlangsung pada Ahad
menyaksikan Amanah hanya diperuntukkan 27 kerusi, jumlah yang paling
sedikit berbanding parti anggota yang lain.
Antaranya tiga di Kedah, Pulau Pinang (1), Perak (4), Selangor (5),
Melaka (1), Johor (2), Negeri Sembilan (2), Pahang (1), Terengganu (3)
dan Kelantan (5).
Sementara PPBM memperoleh kerusi terbanyak 52 kerusi, PKR (51) dan DAP 37 kerusi.
Susulan itu, rata-rata pemimpin PAS menyifatkan agihan itu sebagai ‘memakan diri sendiri’.
Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr Zuhdi Marzuki dalam reaksinya pula
berkata PH cuba mensabotaj PAS apabila meletakkan Amanah di 27 kubu kuat
partinya, meskipun gagasan itu sedar parti serpihan PAS itu tidak mampu
untuk menang pada PRU14 nanti.
Mengulas perkara itu, Mustafa berkata Amanah yang bertanding di
kubu-kubu kuat PAS, mempunyai peluang yang tipis selain menggalas tugas
sukar untuk memenangi kerusi tersebut.
"Kalau dia lawan di kubu kuat PAS bermakna dia perlu merebut pengaruh
dikalangan ahli PAS sendiri dan yang keduanya di kalangan penyokong yang
mungkin menyokong Barisan Nasional (BN) atau atas pagar. Jadi setakat
kita lihat pengaruh Amanah di kubu kuat PAS masih belum kuat. Hanya
pemimpinnya sahaja yang keluar dari PAS tetapi tidak diikuti ahli PAS
sendiri.
"Saya tidak fikir Amanah ini boleh menarik undi Umno. Kalau pun dia
tarik penyokong PAS, yang akan rugi PAS sendiri. Amanah tidak boleh
menarik undi yang begitu besar sebab di kawasan kubu kuat PAS, dia (PAS)
punya pengaruh yang kuat dan besar," ujarnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan