Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar
SHAH ALAM: Bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali mengambil sikap
berbeza berbanding sebelum ini, apabila meminta penyokong-penyokong
Pakatan Harapan (PH) akur dengan pengumuman Tun Dr Mahathir sebagai
calon perdana menteri 'sekejap', pada semalam.
Bagaimanapun beliau dalam masa sama mengakui mempunyai pandangannya tersendiri namun enggan berkongsi mengenainya.
Syed Husin berkata apa yang penting ketika ini adalah menunaikan apa
yang dijanjikan kepada rakyat agar gagasan pembangkang itu menang dalam
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
"Saya ada pandangan yang saya kumpulkan. Namun sekarang semua pihak kena akur, termasuk saya.
"Keputusan pimpinan sudah bulat. Yang perlu semua pihak mesti akur.
Memang ada perbezaan pandangan, ada suara kecil tidak berpuas hati,
namun tak perlu diperbesarkan.
"Tumpu kepada kerja, dasar kerana ada di antaranya sudah diterangkan
dalam pengumuman semalam. Sekarang ini tumpu kepada kerja, jangan dialih
pandangan pada soal calon perdana menteri," katanya kepada Antarapos,
hari ini.
Syed Husin sebelum ini dilihat mempunyai pandangan berbeza dengan
pendirian PH untuk menamakan Dr Mahathir, yang juga pengerusi gagasan
pembangkang itu sebagai calon perdana menteri sementara.
Antara yang dipetik menerusi posting di laman Twitternya adalah;
"Cekdet kata pada 4hb (Januari) akan diketahui calon PM Harapan. Kenapa
dia terburu-buru nak umumkan namanya? Lagi awal umum lagi banyak
bangkai boleh digali.
"Dah bagus-bagus minta maaf. Kenapa lepas itu kata cuma adat dan tak
mesti mengaku salah? Patutnya minta maaf dengan mangsa-mangsanya.
Barulah benar-benar ikhlas," demikian menurut Syed Husin.
PH pada semalam mengumumkan gandingan Dr Mahathir dan Presiden PH,
Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon perdana menteri dan
timbalan, jika gagasan itu menang dalam PRU14 kelak.
Bagaimanapun tempoh pentadbiran Dr Mahathir hanya bersifat sementara
berikutan PH akan mengusahakan pembebasan Ketua Umumnya, Datuk Seri
Anwar Ibrahim dan melantiknya sebagai calon perdana menteri kelapan,
menggantikan Dr Mahathir, jika gagasan itu menang PRU14.
Anwar pada semalam disahkan Jabatan Penjara akan dibebaskan pada 8 Jun
2018, iaitu dua hari lebih awal daripada tarikh yang ditetapkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan