Oleh Zeanaaima Md Yusof
SHAH ALAM: Tidak sampai 24 jam pengumuman Tun Dr Mahathir Mohamad
dilantik menjadi calon perdana menteri sementara Pakatan Harapan (PH),
bertalu-talu reaksi kecewa dilontar ahli akar umbi, juga tidak kurang
pimpinan kanan gagasan itu.
Situasi itu menurut bekas pengasas PPBM, Anina Saaduddin menandakan PH kini memulakan episod krisis baru dalam gagasannya.
"Takziah juga kepada pembangkang, mana tidaknya tidak sampai beberapa
jam pengumuman itu bait-bait perpecahan dalaman sudah timbul.
"Terdapat sumber dalaman memberitahu sudah mula suara tidak berpuas
hati dalam kalangan pemimpin serta ahli PAN (Amanah) yang rasa tertipu
sebaik pengumuman Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri.
"Kemudiaan, terbaru PKR Selangor juga mengeluarkan kenyataan mengkritik keputusan dibuat semasa konvensyen.
"Jelas disini, pengumuman tersebut sebenarnya tidak memberikan sebarang
kesan tapi sebaliknya memberikan implikasi yang buruk kepada
pembangkang sehingga menambah kecelaruan dan tidak mustahil bakal
mengundang perpecahan dalaman dikalangan rakan parti dalam gabungan
itu," katanya menerusi kenyataan medianya hari ini.
Semalam Amanah Johor dan Perak memboikot Konvensyen PH yang berlangsung
di IDCC, Shah Alam berikutan keputusan agihan kerusi yang pada mereka
mengecewakan.
Beberapa pemimpin meminta agar Amanah menghormati keputusan yang
dicapai pada saat-saat akhir iaitu pada malam menjelang konvensyen
gabungan empat parti itu diadakan, pada Ahad.
Belum reda isu ketidakpuasan perihal agihan kerusi, penyokong serta
pemimpin PH sekali lagi diduga dengan pengumuman Dr Mahathir sebagai
calon perdana menteri 'sekejap', sementara calon utamanya, Datuk Seri
Anwar Ibrahim dibebaskan daripada penjara dan mendapat pengampunan Yang
Di-Pertuan Agong.
Jika pemimpin PH sendiri berasa kecewa dengan pengumuman itu, Anina bertanyakan apakah perasaan rakyat terbanyak di negara ini.
"Jika PAN (Amanah) Johor dan Perak serta PKR kecewa dengan keputusan
pencalonan semasa konvensyen itu, rakyat dibawah ini pastinya lebih
kecewa apabila mereka meletak calon yang sudah banyak kali melakukan
onar kepada negara.
"Lebih hebat dari itu, adakah Tun Mahathir akan berjaya menjadi
satu-satunya perdana menteri yang menjadi perdana menteri semula selepas
menjatuhkan dua orang perdana menteri selepasnya. Adakah ini rekod yang
mahu dicipta oleh rakyat Malaysia?," soal Anina.
Anina yang juga Presiden Empirical Malaysia mengucapkan tahniah kepada
PPBM kerana mendapat kerusi paling banyak dalam PH untuk dipertandingkan
pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, biarpun baru setahun
jagung ia ditubuhkan.
"PPBM boleh tersenyum dengan kerusi Parlimen paling banyak mereka
peroleh, namun perlu diingat tanpa kerjasama dan persefahaman dengan
rakan parti lain mustahil mereka mampu bergerak bersendirian untuk
berdepan pilihan raya kerana jentera yang dimiliki tidak sekuat rakan
parti pembangkang seperti PAN (Amanah) dan PKR," ujarnya.
PPBM berjaya mendapat 52 kerusi walaupun ketika ini hanya memiliki satu
kerusi Parlimen yang disandang Tan Sri Muhyiddin Yassin, sementara PKR
(52), DAP (35) dan Amanah hanya 27 kerusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan