Sabtu, 6 Januari 2018

Banjir di Pulau Pinang semakin surut

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
 GEORGETOWN: Keadaan banjir di Pulau Pinang semakin pulih hari ini, apabila jumlah mangsa direkodkan menurun dengan hanya satu pusat pemindahan sementara di Jawi, Seberang Perai Tengah (SPT) masih dibuka.
 
Exco Kebajikan, Alam Sekitar dan Masyarakat Penyayang negeri, Phee Boon Poh, berkata seramai 28 penduduk daripada 11 keluarga yang terjejas dengan kejadian banjir kilat semalam, masih ditempatkan di pusat pemindahan terbabit.
 
"Ia membabitkan tujuh lelaki, 10 wanita, 11 kanak-kanak dan seorang bayi lelaki.
 
"Jumlah ini dilapor menurun berbanding semalam," katanya dipetik BH Online hari ini.
 
Lebih 50 kawasan di negeri ini dilanda banjir selepas hujan lebat sejak malam kelmarin, masing-masing 15 kawasan di bahagian pulau, manakala selebihnya membabitkan lokasi di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU), dengan paras air antara 0.1 meter hingga 0.4 meter.
 
Antara kawasan terjejas teruk ialah Ladang Hong Seng di Mount Erskine apabila rumah di kawasan terbabit dilapor dinaiki air setinggi kira-kira 2 meter, dikatakan berpunca daripada kebanyakan kediaman dibina merintangi Sungai Bab 1.
 
Sementara itu, Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang dalam kenyataannya berkata, pasukan teknikal akan dihantar bagi meneliti keadaan runtuhan tanah di Ladang Lada, Mount Erskine.
 
"Setakat ini hanya satu keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara, manakala sebuah keluarga lagi menetap di kediaman saudara mereka," katanya.
 
Mengulas kejadian runtuhan tanah di Kilometer 60.8 Jalan Batu Ferringhi arah Teluk Bahang, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) negeri berkata, kerja pembersihan sudah dilakukan dengan laluan dibuka sepenuhnya selain pemantau dibuat dari semasa ke semasa.
 
 

Tiada ulasan: