DETIK DAILY
Oleh HARIS ZALKAPLI
SELURUH dunia Islam terutama rantau Asia Barat dan
Afrika Utara menjadi medan persaingan kuasa dan perang proksi yang
sengit sejak krisis yang tercetus akibat kebangkitan rakyat yang digelar
Arab spring.
Kuasa-kuasa utama terdiri daripada Arab Saudi, Iran, Israel yang
disokong Amerika Syarikat dan juga negara-negara lain dari dalam dan
luar rantau ini menyokong kumpulan masing-masing, menyumbang kepada
keadaan yang lebih parah.
Selain persangain utama melibatkan Arab Saudi dengan Iran, yang
mewakili dan mengetuai dua kelompok Sunni dan Syiah, pelbagai pihak lain
turut mempunyai kepentingan lain yang tidak hanya tertakluk kepada
garis pemisah mazhab, tetapi juga kepentingan geopolitik dan ekonomi.
Negara-negara dilanda gelombang kebangkitan rakyat sejak Disember
2010 hampir semuanya terus menjadi medan persaingan kuasa-kuasa
terbabit, sehingga beberapa negara seperti Syria, Yaman, dan Libya kini
hancur dan dilanda krisis kemanusiaan yang teruk.
Lima negara di bawah ialah lokasi utama persaingan kuasa-kuasa asing di rantau Asia Barat dan Afrika Utara.
1. Iraq
Militia Syiah yang disokong Iran kini muncul sebagai
antara kuasa utama di Iraq, dan terbaharu berperanan dalam mematahkan
kemaraan Kurdi yang mahu memerdekakan wilayah Kurdistan Iraq.
Termasuk
Wilayah Autonomi Kurdistan, Israel turut terlibat dengan mendalam di
negara ini. Kumpulan-kumpulan Sunni pula turut menerima bantuan dari
Arab Saudi, bertujuan melawan pengaruh Iran.
2. Yaman
Yaman dikemukakan sebagai medan perang proksi Saudi
dengan Iran, Sunni dengan Syiah, tetapi naratif dominan ini tercabar
oleh realiti yang lebih kompleks, yang bukan sahaja melibatkan
pembahagian politik yang tidak melibatkan mazhab tetapi juga pembahagian
antara Yaman yang bersatu dengan kumpulan berkuasa di selatan didukung
Emiriyah arab Bersatu yang masih berusaha memisahkan wilayah selatan.
3. Libya
Libya antara yang jelas menyaksikan perang proksi antara
Qatar dengan Emiriyah Arab Bersatu, dan melibatkan juga beberapa negara
lain termasuk Mesir dan Rusia. Jeneral Khalifa Haftar yang disokong
Emiriyah kini tokoh paling dominan di Libya, yang telahpun terpecah
kepada beberapa bahagian dikuasai kumpulan-kumpulan lain. Abu Dhabi
kekal sebagai kuasa asing paling berjaya menguasai Libya kini.
4. Syria
Selain Qatar yang sebelum ini kuasa asing dominan yang
menyokong pemberontak di Syria, Turki, Arab Saudi, dan Iran turut
berperanan di Syria, menyokong proksi masing-masing. Pada masa ini,
pertembungan utama melibatkan kuasa mewakili Syiah disokong Iran, dengan
Kurdi yang telah menguasai kawasan sendiri dan bercita-cita mewujudkan
sebuah Kurdistan raya meliputi Turki, Syria, dan Iraq.
5. Lubnan
Lubnan mencatat satu peristiwa mengejutkan apabila
perdana menterinya dipanggil ke Arab Saudi dan dipaksa meletakkan
jawatan, sebagai satu usaha untuk mencetuskan suasana tegang dan
membolehkan tindakan terhadap Hizbullah dan Iran dilaksanakan. Sebagai
barisan depan paling kuat berdepan secara ketenteraan dengan Israel,
Hizbullah menjadi sasaran utama untuk dihapuskan oleh Israel dan sekutu,
tindakan yang telah dirancang sejak lebih sedekad lalu ekoran perang
musim panas 2006 antara Hizbullah dengan tentera Zionis.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan