Sabtu, 6 Januari 2018

Serangan Tun Mahathir tidak gugat sokongan ahli PAS pada Hadi

Oleh Zeanaaima Md Yusof
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Serangan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak akan melemahkan atau menggugat sokongan pengundi serta penyokong Presiden PAS itu.
 
Penganalisis politik, Datuk Aidit Ghazali berkata ahli dan penyokong PAS diketahui umum celik maklumat serta bijak menilai serangan yang dibuat sama ada bersifat emosi atau berlandaskan fakta.
 
"Tentu sekali tidak (terkesan). Pengikut PAS tak kira sama ada yang tegar atau biasa, mereka ini jelas dan faham bahawa kenyataan-kenyataan bersandarkan emosi ini tak boleh dijadikan sandaran. 
 
"Ahli PAS boleh membezakan apa pendirian emosi dan apa pendirian yang berasas," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Dr Mahathir sebelum ini dalam sidang medianya di Yayasan Kepimpinan Perdana, rabu lalu menuduh Hadi sebagai ‘pengkhianat dan sedang mengkafirkan diri sendiri’. 
 
Gelaran itu menyusul susulan Hadi mengisytiharkan parti pimpinannya akan bertanding di lebih 130 kerusi parlimen dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang. 
 
Hadi dalam reaksi balasnya berkata Dr Mahathir bersikap melampau namun beliau memaafkan bekas perdana menteri 22 tahun itu.
 
Ujar Hadi, Dr Mahathir semakin terdesak untuk mendapatkan sokongan dan menggesa tokoh politik itu agar bertaubat.
 
Mengulas lanjut, Aidit berkata tindakan 'suka-suka' mengkafirkan sesorang muslim yang lain adalah menyalahi hukum Islam.
 
"Kalau kita mudah-mudah berdasarkan emosi atau pertimbangan politik semata-mata mengkafirkan seseorang walaupun orang itu merupakan musuh politik itu sebenarnya bukan hanya menyalahi adab seorang muslim tetapi juga menyalahi hukum.
 
"Saya beranggapan sesiapa yang mengkafirkan seseorang muslim tanpa berdasarkan nas-nas yang jelas dari segi Quran dan hadis, dia sebenarnya melakukan dosa besar kerana dia telah mengambil hak Allah," ujarnya lagi.
 
Justeru Aidit menasihati negarawan itu agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan, terutama membabitkan perihal akidah seseorang.
 
"Satu perkara yang Tun Mahathir kena ingat bahawa jangan fikir bawaha jika kita seorang yang beragama Islam, maka kita akan terjamin mati sebagai orang Islam kerana dia telah mengambil hak Allah," katanya lagi.
 
 
 

Tiada ulasan: