KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan memanggil semula bekas
pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Samad, sekiranya perlu bagi
melengkapkan kertas siasatan berhubung kes pemindahan hak milik tanah
Felda bernilai RM270 juta di Jalan Semarak, di sini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, Mohd. Isa
memberi kerjasama baik kepada pihak polis dalam melengkapkan siasatan
kes transaksi pemindahan hak milik tanah Felda yang diragui.
“Saya mengesahkan proses rakaman percakapan terhadap Tan Sri Isa selesai dilakukan pada pukul 4 petang tadi (semalam).
“Sebarang keperluan untuk memanggilnya semula dalam melengkapkan
siasatan akan diteliti oleh pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial
(JSJK),” katanya dipetik Utusan Malaysia.
Mohamad Fuzi bagaimanapun tidak mengulas lanjut butiran terperinci
proses rakaman percakapan kerana dikhuatiri mengganggu siasatan.
Semalam Isa hadir di ibu pejabat JSJK Bukit Aman di Menara 238, Jalan Tun Razak pada jam 10.30 pagi.
Isa adalah individu ke sembilan yang diambil keterangan dan disoal siasat lebih 4 jam.
Siasatan berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan penipuan.
Isa dipanggil berhubung penjualan keempat-empat lot tanah di Jalan
Semarak bernilai RM270 juta yang kini dimiliki oleh sebuah syarikat
swasta.
Untuk rekod, Felda sebelum ini telah membuat satu laporan polis pada 12
Disember lalu dan akan mengambil tindakan sivil kepada syarikat swasta
berkenaan kerana dipercayai menyalahgunakan kuasa.
Felda dilaporkan, berisiko kehilangan hak ke atas tanah strategik di
Jalan Semarak yang bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai
bertukar hak milik menerusi transaksi yang diragui sejak 2015.
Tanah itu kini dimajukan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City
(KLVC) membabitkan tujuh menara, termasuk menara ikonik Felda dikenali
sebagai KLVC Tower1A.
Media yang memetik sumber melaporkan, dipercayai pindah milik tanah itu
dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC)
melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014
dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi
membangunkannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan