Oleh Wan Anis Ilyani Wan M Azhar & Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berjanji akan
mendapatkan lebih banyak kerusi DUN di Johor selepas partinya hanya
diberi kepercayaan untuk hanya mewakili dua kerusi Parlimen iaitu di
Parit Sulong dan Pulai pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), akan
datang.
Salahuddin berkata demikian sejurus Amanah Johor memboikot Konvensyen Pakatan Harapan (PH) yang berlangsung hari ini.
"Sebagai pemimpin peringkat kebangsaan, kita melihat dalam konteks yang
besar demi PH. Saya sendiri, malah pemimpin-pemimpin tertinggi Amanah
dan PH terpaksa berdepan dengan risiko selepas kita bermesyuarat.
"Di Johor, jumlahnya (kerusi parlimen) kecil dan kita bersedia untuk
bekerja untuk kerusi-kerusi DUN. Ada harapan untuk keadaan ini. (Saya)
akan cuba mendapatkan kerusi yang banyak untuk kerusi DUN.
"Saya hormati dengan apa yang jadi terjadi di Johor kerana mereka
meluahkan ketidakpuasan hati mereka. (Tetapi) Kita kena bergerak ke
depan," katanya kepada pemberita selepas ditemui di Konvensyen PH yang
berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, tengah hari
tadi.
Awal hari ini, Amanah Johor dilaporkan memboikot konvensyen kedua
gagasan pembangkang itu sebagai tanda tidak berpuas hati dengan
pembahagian kerusi Parlimen Johor sesama parti-parti pembangkang.
Keputusan mengenai agihan kerusi di Semenanjung itu dikatakan dicapai dalam mesyuarat pimpinan tertinggi PH malam tadi.
Pengerusi Amanah Johor, Amiroulhuda Hassan berkata tindakan memboikot
terpaksa dibuat selepas partinya hanya mendapat dua kerusi Parlimen
sedangkan PPBM diberi peruntukan 10 kerusi manakala PKR dan DAP
masing-masing sebanyak 8 dan 6 kerusi.
Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir ketika ditemui pemberita
bagaimanpun menafikan Amanah Johor memboikot konvensyen berkenaan.
"Bukan boikot, mereka cuma tak datang hari ini. Khabar angin mengatakan
mereka tidak gembira. Namun kadang kala (dalam) rundingan soal kerusi
ini, kita tak boleh dapat apa yang kita minta.
"Saya tahu mereka telah bekerja keras, Jawatankuasa Pusat akan berjumpa
mereka untuk berbincang. Esok kita akan mulakan bermesyuarat di
peringkat (Amanah) Wilayah Persekutuan.
"Saya akan bercakap dengan Presiden, Mohamd Sabu untuk (mesyuarat)
dengan negeri-negeri lain termasuk Johor untuk tetapkan tarikh. Ia bukan
masalah yang besar, ia boleh diselesaian," katanya.
Konvensyen PH yang berlangsung hari ini juga dikhabarkan bakal
menamatkan teka-teki calon perdana menteri dan timbalannya setelah ia
disepakati menerusi mesyuarat yang berakhir pada jam 8.30 malam tadi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan