PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengadakan
lawatan kerja ke Arab Saudi bermula esok hingga 12 Januari ini atas
jemputan Penjaga Dua Kota Suci, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud.
Najib akan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor serta pegawai-pegawai kanan Pejabat Perdana Menteri.
Menurut kenyataan Kementerian Luar di Kuala Lumpur, semasa lawatan itu,
Najib dijadual menghadap Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin
Salman Abdulaziz Al Saud di Riyadh.
“Pertemuan-pertemuan itu akan memberikan peluang kepada mereka untuk
berbincang dan bertukar pandangan mengenai isu-isu dua hala, pelbagai
hala, serantau serta antarabangsa terutamanya tindakan-tindakan susulan
ke atas isu-isu yang dibincangkan dan dipersetujui sewaktu lawatan
negara yang bersejarah Raja Salman ke Malaysia pada Mac tahun lepas,”
kata kenyataan itu.
Isu-isu tersebut merangkumi kerjasama ekonomi, pelaburan, hal ehwal
Haji dan penubuhan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) di
Putrajaya.
Menurut Kementerian Luar, pertemuan-pertemuan itu adalah amat tepat
pada masanya di mana hubungan istimewa Malaysia dan Arab Saudi kini
berada pada tahap yang tertinggi.
“Lawatan perdana menteri ke Arab Saudi akan memperkukuhkan lagi hubungan persahabatan antara dua negara,” kata kenyataan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan