SHAH ALAM: PAS tidak pernah berdendam dengan sesiapa dan buktinya
tindakan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini memaafkan
Tun Dr Mahathir Mohamad.
"Sebagai manusia, memang kita tidak sunyi dari salah silap. Namun apa
yang penting ialah tidak mengulangi kesilapan, melakukan perubahan dan
bertaubat terhadap kesalahan lampau.
"Namun dalam urusan taubat, ia adalah urusan seseorang itu dengan Allah
dan sekiranya melibatkan manusia, dia perlu memohon maaf kepada mangsa
yang terlibat.
"Tindakan tuan guru presiden PAS memaafkan Tun Dr Mahahir Mohamad
membuktikan PAS tidak pernah berdendam dengan sesiapa dan sedia
memaafkan kesilapan lampau," kata Tuan Ibrahim dalam satu kenyataan.
Dr Mahathir sebelum ini menuduh Hadi sebagai ‘pengkhianat dan sedang mengkafirkan diri sendiri’.
Gelaran itu menyusul susulan Hadi mengisytiharkan parti pimpinannya
akan bertanding di lebih 130 kerusi parlimen dalam Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14) akan datang.
Hadi dalam reaksi balasnya berkata Dr Mahathir bersikap melampau namun beliau memaafkan bekas perdana menteri 22 tahun itu.
"Antara saya dan dia saya maafkan. (Antara) dia dan tuhan, dia kena bertaubat.
"Dia orang tua, biar dia insaf sendiri.
"Kita ingat biar dia insaf sendiri. Dia duduk sorang-sorang, fikir
sendiri. Dia kena banyak baca buku. Jangan baca buku perubatan je. Buku
Islam pun dia kena baca," kata Abdul Hadi.
Dr Mahathir juga menyindir Hadi yang bekerjasama dengan Umno, yang didakwanya pernah digelar PAS sebagai “kafir”.
“Najib ini kafir menurut PAS dan Hadi pernah kata jika kamu bekerjasama dengan kafir, kamu pun jadi kafirlah.
“Jadi sekarang dia bekerjasama dengan Umno dan pada suatu masa dengan
DAP, dia sendiri pun kafirlah,” kata pengerusi Pakatan Harapan itu.
Mengulas lanjut Tuan Ibrahim berkata, tindakan Hadi 'menutup' isu akan
memastika PAS tidak terheret dengan politik Dr Mahathir yang mungkin
mahu mengganggu persiapan parti dan ahli-ahlinya menjelang PRU14.
"PAS mengingatkan seluruh jentera mengikut langkah Presiden PAS agar
fokus kepada gerak kerja pilihan raya dan tidak tenggelam dengan agenda
pihak lain.
"Jangan sibuk melayan serangan politik terdesak yang menjauhkan kita daripada tugas sepatutnya.
"Pendek kata jangan sibuk mencabut kemuncup ketika bertempur di dalam permainan bola sepak," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan