KOTA BHARU: PAS yakin DAP akan memenangi lebih banyak kerusi berbanding
PPBM dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), seterusnya menguasai
pakatan pembangkang.
Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata ini kerana
PPBM sebagai parti baru, dijangka tidak mampu memenangi lebih banyak
kerusi berbanding DAP yang sudah mempunyai kerusi tradisi, pengundi
tegar dan kubu kuat di kawasan dipertandingkan.
Beliau yang dilaporkan BH Online berkata, pengagihan 52 kerusi kepada
PPBM berbanding DAP hanya 35 kerusi adalah untuk mengaburi mata pengundi
Melayu bahawa bukan DAP yang dominan dalam pakatan pembangkang.
"PPBM sendiri tiada kerusi sebenarnya kecuali di Pagoh yang dimenangi
atas nama Barisan Nasional (BN), manakala kerusi Amanah pula menang
kerana PAS.
"Jadi, kemungkinan mereka kalah adalah besar dan akhirnya DAP juga yang
dominan kerana parti itu mempunyai kubu kuat, kerusi tradisi dan
pengundi tegar.
"Perlu diingat, jumlah kerusi bertanding dengan angka menang tidak
sama. Jadi, kita perlu lihat keputusan akhir nanti," katanya selepas
Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan
(PBT), di sini, hari ini.
Konvensyen pakatan pembangkang diadakan semalam di Shah Alam
mengumumkan pembahagian kerusi yang akan ditandingi empat parti
komponennya itu dengan menetapkan PPBM mendapat jumlah kerusi terbesar
iaitu 52, diikuti PKR (51), DAP (35) dan PAN (27).
Ditanya pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana
Menteri, Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar, berkata pakatan
pembangkang sudah tiada calon berwibawa untuk memimpin negara bagi
menggantikan BN.
Katanya, Dr Mahathir seorang ahli politik hebat apabila pakatan
pembangkang terutama PKR dan DAP sebelum ini berlawan menjatuhkan beliau
sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun, namun tiba-tiba dalam masa dua
tahun, Pengerusi PPBM itu diangkat sebagai calon Perdana Menteri.
"Mereka berjuang sejak 1999 untuk menjatuhkan Dr Mahathir mengenai isu
Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi dalam masa dua tahun mereka boleh pula
terima beliau walaupun sekadar cadangan Perdana Menteri
sementara...tetapi itu hanya atas kertas," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan