Selasa, 9 Januari 2018

Pahang catat peningkatan mangsa banjir

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUANTAN: Raub menjadi daerah terbaru dilanda banjir menyebabkan jumlah mangsa banjir yang dipindahkan sedikit meningkat kepada 379 mangsa, ditempatkan di lapan pusat pemindahan sementara (PPS) di Pahang pagi ini berbanding 370 orang malam tadi.
 
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Zainal Yusof berkata sembilan orang di Raub mula dipindahkan pagi ini ke PPS Dewan Semai Bakti Felda Tersang 2.
 
Dalam pada itu, Pekan masih menempatkan 281 orang di lima PPS iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Temai (122 orang), Pusat Pemindahan Banjir Kampung Pulau Manis (75 orang).
 
Mangsa turut ditempatkan di Balai Raya Kampung Tanjung Pulai (39 orang), SK Acheh (34 orang) dan Balai Raya Kampung Tebat (11 orang),? katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
 
Di Maran pula, katanya 38 mangsa masih ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Baru Pertanian manakala daerah Lipis, seramai 51 mangsa yang ditempatkan di SK Chegar Perah.
 
Sementara itu, tujuh sekolah di Pekan dan Maran yang melibatkan 1,538 murid dan guru masih ditutup hari ini berikutan masalah banjir.
 
Katanya, di Pekan enam sekolah ialah SK Kampung Acheh, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai, SK Mambang, SK Temai, SK Pelak dan SK Pulau Manis manakala sebuah sekolah di Maran, SK Kertau.
 
Sementara itu di Segamat, tujuh belas orang daripada enam keluarga yang terjejas akibat banjir masih berada di dua pemindahan sementara (PPS) di Segamat, pagi ini.
 
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri Datuk Ayub Rahmat berkata setakat 8 pagi ini jumlah mangsa banjir masih kekal seperti malam tadi.
 
Tujuh mangsa membabitkan dua keluarga adalah penduduk Kampung Kuala Paya yang dipindahkan ke PPS Sekolah Agama Kuala Paya, sejak 8.30 pagi semalam.
 
"Seramai 10 mangsa daripada empat keluarga pula merupakan penduduk Kampung Balai Badang dan kini berada di PPS Sekolah Kebangsaan Balai Badang," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
 
Keadaan cuaca di daerah itu dilaporkan mendung, namun pemantauan berterusan situasi banjir itu sedang dilakukan agensi berkaitan berikutan kediaman kesemua mangsa berdekatan Sungai Muar.
 
Bacaan paras air terkini sungai itu adalah 8.91 meter iaitu pada paras amaran, berbanding 8.90 meter terdahulu.
 
 

Tiada ulasan: