SHAH ALAM: Amanah terpaksa melepaskan kerusi Parlimen Titiwangsa kepada
PPBM bagi membolehkan pengumuman agihan kerusi Pakatan Harapan (PH)
dibuat pada konvensyen gagasan itu pada Ahad.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata, jika Amanah berkeras
mahu mempertahankan kerusi itu, pengumuman agihan kerusi tidak dapat
dibuat sekali gus menjadikan konvensyen itu sebagai 'tidak bermakna'.
"Selepas mengambil kira kepentingan semua perkara dan kesediaan PKR
menyerahkan kerusi Lumut kepada Amanah, kita setuju lepaskan
Titiwangsa," kata Khalid.
Dedah Khalid, sehingga petang Sabtu (6 Januari 2018) PH masih gagal
memuktamadkan agihan kerusi sesama empat parti komponennya berikutan
semuanya berkeras untuk pertahankan kerusi masing-masing.
Ketika itu, kata Kahlid, semua persediaan konvensyen sudah siap
dilakukan dan Amanah terpaksa bersetuju melepaskan kerusi Titiwangsa
sejurus menendatangani segala dokumen yang berkaitan.
Kesediaan Amanah berkorban itu mendapat pujian khas dari Pengerusi PH
Tun Dr Mahathir Mohamad ketika memberikan ucapan dalam konvensyen itu.
"Yang menjayakan agihan parti ini (PH) adalah Amanah," kata Dr Mahathir dalam ucapannya di konvensyen itu.
Ramai pemerhati melihat pujian Dr Mahathir itu sekadar mahu
'menyejukkan' parti pimpinan Mohamd Sabu itu selepas Amanah Johor dan
Perak dilaporkan memboikot konvensyen yang sedang berlangsung di IDCC
Shah Alam.
Masing-masing kecewa dengan bilangan kerusi yang terlalu sedikit diberikan kepada mereka di peringkat negeri.
Menyusul, Amanah Titiwangsa turut menyatakan kekecewaannya selepas
tidak mendapat walaupun satu kerusi di Kuala Lumpur, meskipun sudah
melakukan gerak kerja sejak parti ditubuhkan, dua tahun lalu.
PPBM lebih beruntung daripada Amanah, berikutan walaupun paling baru
ditubuhkan, parti tajaan Dr Mahathir itu mendapat kerusi paling banyak
di semenanjung iaitu 52 kerusi.
Amanah mendapat paling sedikit iaitu 27 kerusi, DAP (37) dan PKR 52 kerusi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan