SHAH ALAM: Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong
mempersoalkan kewajaran syarikat fesyen tempatan, Voir Holding menjadi
pemegang saham terbesar dalam syarikat kenderaan kegunaan khas (SPV)
berkaitan projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang.
Wee berkata kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng itu mengumumkan pada
awal 2013 bahawa saham dalam syarikat itu diberi kepada dua syarikat
pembinaan gergasi China, dengan sokongan modal berbayar RM4.6 bilion.
“Tetapi hari ini, pemeriksaan kami mendapati kedua-dua syarikat gergasi
dari China itu tiada lagi dalam senarai pemegang saham SPV manakala 39
peratus saham lagi dipegang individu lain.
“Apakah kerajaan DAP Pulau Pinang berbohong kepada orang ramai dan cuba
bermain umpan dan alih?” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari
ini.
Tambah Wee, ini bermakna projek infrastruktur yang kononya dikatakan
diberikan melalui persaingan terbuka itu adalah tidak sah sama sekali.
Beliau memberitahu, kerajaan DAP Pulau Pinang perlu menjawab segala
persoalan yang ditimbulkan kerana rakyat berhak mengetahui kisah di
sebalik pemberian kontrak berbilion ringgit kepada syarikat yang
majoriti sahamnya dipegang oleh syarikat fesyen.
Tender bagi pembinaan terowong bawah laut sepanjang 7.2 kilometer dan
tiga lebuh raya itu diserahkan kepada Consortium Zenith BUCG Sdn. Bhd.
(Zenith) yang mengandungi beberapa anak syarikat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan