SHAH ALAM: Amanah membayangkan bahawa parti itu mempunyai 'cara lain'
dalam menangani ketidakpuasan hati ahli dan akar umbinya bersabit
pembahagian kerusi yang diperoleh paling rendah dalam Pakatan Harapan
(PH).
Timbalan Presidennya Salahuddin Ayub percaya, pembahagian kerusi di
peringkat DUN yang sedang berlangsung kini akan menjadi 'pengubat'
kepada 'kelukaan' tersebut.
"Bagi yang tiada kerusi DUN seperti Wilayah Persekutuan, maka ketidakpuasan hati ini akan ditangani dengan cara lain.
"Saya percaya bahawa rundingan kerusi Pakatan Harapan di peringkat
Dewan Undangan Negeri (DUN) sama ada yang telah dan sedang berlangsung
dapat membantu menyelesaikan rasa tidak puas hati berhubung jumlah
kerusi di peringkat Parlimen bagi semua parti dalam Pakatan Harapan,"
katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas luahan rasa kecewa Amanah Wilayah
Persekutuan semalam yang berduka dengan pembahagian kerusi Parlimen PH
bagi Semenanjung.
Pada Konvensyen PH kelmarin, Amanah diberi 27 kerusi parlimen, paling sedikit berbanding tiga parti komponen lain.
PPBM mendapat 52 kerusi, PKR (51 kerusi) dan DAP (35 kerusi), sekaligus
menyebabkan Amanah peringkat Bahagian menyifatkannya sebagai “hari
duka”.
Tambah Salahuddin lagi, sebarang rasa tidak puas hati terhadap hasil
pembahagian kerusi akan dibawa kepada peringkat tertinggi parti itu.
"Hasil pembahagian kerusi serta pengumuman calon Presiden Pakatan
Harapan akan dibawa kepada peringkat tertinggi Pakatan Harapan supaya
ditangani dengan sebaiknya (agar) dapat diterima oleh seluruh ahli dan
di setiap peringkat semua anggota parti," kata beliau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan