Ahad, 7 Januari 2018

Mahathir Lebih Layak Jadi Menteri Kanan Berbanding PM – Ketua Wanita PKR

 
 


Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad lebih layak menjadi menteri kanan berbanding dengan jawatan Perdana Menteri jika Pakatan Harapan (PH) berjaya menawan Putrajaya pada PRU 14.

Zuraida yang merupakan penyokong utama kumpulan Kartel pimpinan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali itu berkata Mahathir sudah mempunyai pengalaman sebagai perdana menteri selama 22 tahun justeru itu beliau tidak sewajarnya memegang jawatan itu sekali lagi.

“Beliau ada ‘track record’ sebagai negarawan, beliau layak jadi menteri kanan bukan perdana menteri. Saya rasa secara prinsipnya beliau layak jadi menteri kanan. Bukan sebab reformasi.
Reformasi 20 tahun dulu kita lawan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Wanita PH di Kajang, hari ini.

Dalam permukiman yang diadakan PH akhir tahun lalu, Mahathir dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dicadangkan sebagai calon Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sebagai satu strategi bagi menghadapi PRU 14.

Bagaimanapun cadangan itu tidak dipersetujui Ketua Umum PKR Anwar Ibrahim tidak bersetuju dengan pencalonan Mahathir itu.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, Anwar mahu PH menangguhkan keputusan mengumumkan calon PM sebelum mendapatkan maklum balas daripada kumpulan masyarakat dan aktivis sivil.

Kesemua syarat ini dinyatakan oleh Anwar menerusi surat yang disampaikan oleh Azmin Ali ketika majlis itu memulakan mesyuaratnya semalam.



Dalam masa sama, portal pro-Amanah, Malaysia Dateline melaporkan media rasmi kerajaan negeri Selangor kini sudah berkempen mencalonkan Menteri Besar Selangor, Azmin Ali sebagai calon PM yang lebih layak berbanding Mahathir.

Dalam laman Selangorkini.my hari ini, laman rasmi kerajaan Selangor itu melaporkan berita bertajuk “Mohamed Azmin layak dicalonkan PM PAKATAN, berjaya tadbir Selangor”.

Berita itu melaporkan pandangan yang diutarakan oleh peguam, Harris Idaham dalam Forum Anak Muda: Siapa Perdana Menteri Pilihan Millennial? yang menjelaskan Mohamed Azmin berjaya dengan cemerlang menerajui Kerajaan Selangor.

“Bagi Mohamed Azmin, saya merasa Selangor adalah pentas ‘rehearsal’ terbaik untuk seorang yang mahu dicalon Perdana Menteri.

“Selangor sebuah negeri besar berbanding negeri lain dan kajian Institut Darul Ehsan (IDE) juga menunjukkan popularitinya melebihi 60 peratus,” katanya yang memetik kajian IDE, sebuah lagi badan di bawah kerajaan negeri Selangor.

Tiada ulasan: