KUANTAN: Seorang lelaki yang dipercayai menyamar sebagai polis dan
melarikan remaja perempuan berusia 17 tahun di Ulu Gali, Sungai Ruan,
Raub pada 27 Disember lalu, berjaya ditahan awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Pahang, Senior Asisten
Komisioner Othman Nanyan, berkata lelaki berusia 32 tahun berasal dari
Bentong itu ditahan kira-kira jam 2 pagi di sebuah hotel di Ipoh, Perak.
Katanya, turut dirampas sebuah kereta PROTON Satria, kunci kereta,
sepucuk pistol bersama kelopak peluru palsu, dua telefon bimbit dan wang
tunai RM100.
"Suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Raub dan direman empat
hari sehingga Selasa depan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 363
dan 170 Kanun Keseksaan iaitu menculik serta menyamar sebagai penjawat
awam.
"Siasatan mendapati suspek pernah terbabit dalam beberapa kes jenayah
di Mentakab di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,
Brinchang Seksyen 354 Kanun Keseksaan (mencabul), Pekan Seksyen 379A
Kanun Keseksaan (mencuri kenderaan).
"Suspek juga mempunyai rekod kesalahan di negeri lain iaitu Bakri,
Johor iaitu menyamar sebagai penjawat awam (Seksyen 170 Kanun
Keseksaan); Chukai, Terengganu di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan
kerana merogol dan mencuri kenderaan di Kuala Lumpur yang disiasat
mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan di
sini, hari ini.
Pada 27 Disember lalu, seorang remaja perempuan dilaporkan hilang
selepas dikatakan dilarikan seorang lelaki yang menyamar sebagai anggota
polis di depan rumahnya di Ulu Gali, Sungai Ruan, Raub.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan