Oleh Athirah Hanapiah
KAJANG: Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin berkata, beliau bersedia
untuk diletakkan di mana-mana kerusi parlimen sekiranya diminta parti
untuk berbuat demikian.
Walau bagaimanapun ujar beliau, soal pembahagian kerusi itu masih lagi sekadar cadangan dan belum dimuktamadkan parti.
"Saya bertanggungjawab untuk melunaskan sayap wanita, jadi untuk
mengukuhkan PH saya bersedia pergi mana-mana sahaja dan meluaskan
pengaruh wanita.
"Itu kita punya cadangan (jika khabar angin tentang rombakan itu
benar), kita belum muktamadkan lagi, kemungkinan jadi kemungkinan tidak
jadi," ujarnya ketika ditanya pemberita di Konvensyen Wanita PH Di
Kajang hari ini.
Beberapa hari lalu, timbul khabar angin mengatakan Zuraida bakal dipindahkan dari Parlimen Ampang ke Hulu Langat.
Selain Zuraida, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
juga dijangka tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Gombak dalam
Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kelak.
Media melaporkan, nama mereka dan dua kerusi Parlimen berkenaan
dikemukakan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Raya (JPR) PH Selangor
di Shah Alam beberapa hari lalu.
Untuk rekod, kerusi Hulu Langat dan Shah Alam dimenangi PAS pada PRU13 yang ketika itu masih bersama-sama pakatan pembangkang.
Pada PRU ke13, kerusi Parlimen Shah Alam dimenangi Khalid Abdul Samad
atas tiket PAS selepas beliau menewaskan calon BN Zulkifli Noordin
dengan majoriti 10,939 undi.
Khalid kini menyertai Amanah, parti serpihan PAS.
Sementara itu kerusi Parlimen Hulu Langat dimenangi Che Rosli Che Mat
juga daripada PAS yang mengalahkan calon BN, Adzhaliza Mohd Nor dengan
majoriti 17,267 undi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan