ULASAN: Kalau
benar PAS pernah menuduh Umno parti kafir dan sesiapa yang bekerjasama
dengan Umno maka ia juga akan turut kafir, maka sudahkah Pengerusi
Pakatan Harapan (PH) Tun Dr Mahathir Mohamad bertaubat?
Ini kerana ketika menjadi Presiden Umno, beliau pernah bekerjasama
dengan PAS untuk menyuarakan kesepaduan mengecam penganiayaan Israel
terhadap rakyat dan bangsa Palestin. Kerjasama ini ditayangkan secara
langsung di kaca televisyen.
Bertempat di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 9 Mei 2002 Mahathir
berpidato bersama Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadhil Nor mengutuk
kekejaman rejim Zionis dan bersepadu mahu kezaliman itu dihentikan
segera.
Ketika itu tidakkah Haji Abdul Hadi sudah ‘kafir’ kerana bekerjasama
dengan Umno? Malah Umno sendiri sudah dihukum PAS sebagai kafir. Ketika
Presiden Umno ialah Mahathir!
Jika Mahathir mahu menggunakan ‘fatwa” PAS, beliau wajib mengamalkan
keseluruhannya. Bahawasanya beliau adalah ‘kafir’ dan bukan memperakui
pendapat PAS apabila ia serasi dengan pandangan dan peluang politiknya
buat satu-satu masa.
Kini Dr Mahathir bukan lagi presiden Umno malah sebaliknya mahu
meruntuhkan Umno. Namun beliau menggunakan ‘fatwa’ lama kononnya pihak
mana bekerjasama dengan Umno akan turut kafir. Maka sekarang, katanya,
Hadi ‘mengkafirkan’ dirinya sendiri.
Adalah jelas sekali yang memanipulasi hukum Allah ialah Mahathir.
Beliau menggunakan apa jua ‘fatwa' menurut persepsinya boleh menjatuh
dan memburukkan lawan sahaja.
Lantas tindakan PAS dan Umno kini bekerjasama demi kepentingan Islam
dan umatnya dalam isu Rohingya dan Palestin, kata Mahathir, sudah
menyebabkan kedua-dua parti dan pemimpinnya kafir.
Jika ini bukan manipulasi politik, apakah namanya? Siapakah sebenarnya yang guna agama untuk mengumpul markah politik?
Dr Mahathir wujudkan salah faham Amanat Hadi?
Soalnya, adakah benar Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah
membuat hukuman demikian? Atau, Mahathir itu sekadar ‘melarikan mesej’
Amanat Hadi?
Soal takfir atau mengkafirkan orang lain adalah dosa besar. Jika yang
dituduh tidak kafir, maka yang si-penuduhlah kafir. Sudahkah Mahathir
bertaubat dan kembali ke jalan Allah?
Kerakusan
Mahathir menyerang PAS dan pemimpinnya sebagai menggunakan Islam untuk
kepentingan politik mutakhir ini amat mengerikan. Beliau berpolitik
dengan soal iman – bukan sahaja memperjudikan imannya sendiri malah
melibatkan iman orang lain.
Apakah motifnya? Mahathir mungkin mahu mencerca kepincangan iman orang
lain agar dilihat rakyat “keberanian dan keyakinannya” akan ‘kekufuran’
pihak lawannya dan lantas menyokong beliau. Amat berbahaya tingkahnya
ini.
"Hadi adalah orang yang hanya menggunakan Islam. Dia pernah kata
Kerajaan kafir dan perlu ditentang, jika anda mati dalam penentangan
itu, anda akan masuk syurga.
"Itu yang dijanjikan (Hadi) dan ia bertentangan dengan ajaran Islam,
namun mereka yang pakar agama hanya berdiam diri. Mengikut kata PAS,
jika kamu bekerjasama dengan kafir, kamu akan menjadi kafir.
"Jadi sekarang dia bekerjasama dengan Umno dan sebelum ini pernah
bekerjasama dengan DAP, jadi dia 'mengkafirkan' diri sendiri," katanya.
Sekali lagi, sebagai bekas pemimpin Umno, sudahkah beliau bertaubat?
Amanat Hadi tidak pernah mengkafirkan Umno, sebaliknya kandungan ucapan
Abdul Hadi adalah bagi menjelaskan dasar dan prinsip Amar Makruf Nahi
Mungkar serta perkara yang boleh membatalkan syahadah.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali
berkata, dakwaan Mahathir kononnya Amanat Hadi 'mengkafirkan' Umno,
adalah tohmah bagi menamam kebencian rakyat serta menjarakkan masyarakat
dari PAS.
"PAS sudah jauh menapak ke depan dengan Budaya Politik Matang dan
Sejahtera yang diperkenalkan sejak akhir 2015 bagi menyantuni masyarakat
muslim pelbagai peringkat sesuai dengan realiti semasa kefahaman
masyarakat tentang Islam.
"Dr Mahathir pula mahu undur ke belakang melihat senario dakwah hampir 40 tahun lalu," katanya.
Amanat Hadi kembali hangat
Amanat Hadi adalah petikan ucapan Abdul Hadi ketika berceramah di
Kampung Benggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.
Dr Mahathir menuduh Amanat Hadi punca tragedi Memali, di mana dakwanya
pengikut guru agama, Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya terlalu taksub
dengan amanat berkenaan.
Mantan perdana menteri itu juga mendakwa sikap berdiam diri mufti yang
tidak menyangkal fatwa ekstrim ini menghangatkan polemik kafir mengkafir
sesama Islam.
"Usah diharap untuk seorang yang mempunyai rekod yang kurang baik
terhadap agenda Islam seperti menghapuskan geran perkapita sekolah agama
rakyat untuk kembali ke tampuk pemerintahan. Usah undur ke belakang,"
ujar Ahli Parlimen Kuala Nerus itu.
Dalam masa yang sama Mohd Khairuddin juga mengingatkan para ilmuwan
Islam termasuk mufti agar tidak terikut dengan rentak Dr Mahathir
menyerang PAS.
Pada hakikatnya, intipati 'Amanat Hadi' secara keseluruhannya
bercanggah dengan tuduhan Mahathir yang mendakwa ia mengkafirkan sesiapa
yang tidak menyertai PAS, kata penganalisis politik, Azmi.
Beliau berpendapat ucapan Abdul Hadi disalah tafsir apabila diambil
secara berkelompok dan bukannya difahami secara keseluruhan.
"Jikalau
kita tinjau dan teliti amanat itu sendiri; kalau kita ambil dua tiga
perenggan maka itu dikatakan boleh menimbulkan kekecohan.
“Tetapi kalau kita menghayati keseluruhan amanat itu yang sebenar,
ianya tidak menjerumus kepada apa yang dikatakan mengkafir. Sebenarnya
tidak.
“Kita perlu buka minda dan baca amanat itu secara keseluruhan apa yang
berlaku (dalam) keadaan politik pada ketika itu,” tegasnya.
Mahathir bukan sahaja perlu membuka minda dan memahami Amanat Hadi
menurut konteksnya tetapi wajib membuka hati supaya berkata benar dan
bukan putar belit hakikat untuk mencapai kemenangan politik semata-mata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan