KUALA LUMPUR: Tiga ahli lembaga pengarah FELDA Investment Corporation
Sdn Bhd (FIC), yang dikatakan berkhidmat ketika urus niaga membabitkan
tanah di Jalan Semarak berlaku, turut disiasat Suruhanjaya Pencegahan
Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pembelian hotel di London dan Sarawak.
Tiga pengarah terbabit ialah Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun
Narrashid, Datuk Nik Azman Mohamed Zain dan Datuk Dr Omar Salim yang
disoal siasat oleh SPRM pada Ogos tahun lalu mengenai pembelian hotel di
London.
Siasatan kes berkenaan dipercayai masih berjalan.
FIC dilaporkan membeli Hotel Park City berstatus empat bintang di
Kensington, London bernilai kira-kira RM330 juta pada Disember 2014,
yang dikatakan melebihi harga pasaran selain didakwa mengalami kerugian
berjuta ringgit daripada pembelian itu.
Bagi pembelian hotel di Kuching, Sarawak pada tahun 2014, yang
mempunyai 213 buah bilik dan suite apartmen, FIC didakwa membelinya
melebihi daripada harga pasaran antara RM40 juta dan RM50 juta.
Baru-baru ini, BH melaporkan berita eksklusif bahawa FELDA berisiko
kehilangan hak ke atas tanah strategik di Jalan Semarak di sini, yang
dianggarkan bernilai lebih RM200 juta apabila ia dipercayai bertukar hak
milik menerusi urus niaga meragukan sejak 2015.
Tanah itu kini dimajukan dengan projek Kuala Lumpur Vertical City
(KLVC) membabitkan tujuh menara, termasuk menara ikonik FELDA dikenali
sebagai KLVC Tower1A.
Pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila FIC melantik Synergy
Promenade Sdn Bhd (SPSB) sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan
diberikan surat kuasa wakil penuh (PA) bagi membangunkannya.
Bangunan pejabat 68 tingkat itu meliputi 59 tingkat pejabat, dua
tingkat podium pejabat termasuk parkir, enam tingkat tempat letak
kereta, dua tingkat parkir bawah tanah, taman atas bumbung dan helipad.
Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad adalah Pengerusi FELDA dari 2011 hingga
Januari 2017; Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) mulai 1
Januari 2011 hingga 19 Jun lalu dan Pengerusi FIC sejak ditubuhkan pada
2 Julai 2013 hingga 2017.
Menurut sumber, semua keputusan pelantikan syarikat terbabit,
dipercayai dibuat oleh FIC, tetapi hanya dimaklumkan kepada Lembaga
Pengarah FELDA tiga bulan kemudian, iaitu pada 2 September 2014 untuk
kelulusan secara retrospektif.
Pada 24 Disember lalu, Jabatan Perdana Menteri (JPM) mengarahkan audit
forensik terhadap kes pemindahan hak milik tanah FELDA dekat Jalan
Semarak di sini, disiapkan dalam tempoh sebulan bermula Januari ini.
Bagaimanapun, Pengerusi FELDA, Tan Sri Shahrir Samad percaya audit
forensik itu dapat disiapkan lebih awal kerana semua dokumen yang
diperlukan sudah ada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan